SAPOK Biki raih emas Komanwel edisi 1998 Kuala Lumpur. FOTO/FAIL
SAPOK Biki raih emas Komanwel edisi 1998 Kuala Lumpur. FOTO/FAIL
Ajitpal Singh dan Nur Hairulnizam Wahid di Gold Coast

SUKAN Komanwel yang membabitkan penyertaan dari negara bekas jajahan British akan membuka tirainya secara rasmi di sini, esok.

Malaysia akan mengambil bahagian buat kali ke-16 pada temasya yang memasuki edisi ke-20 itu sejak kali pertama pada 1950 di Auckland, New Zealand dengan ketika itu kontinjen negara dikenali sebagai kontinjen Malaya serta temasya berkenaan dikenali dengan nama Sukan Empayar British.

Berikut 9 fakta menarik sepanjang sejarah penyertaan kontinjen negara di Sukan Komanwel yang turut dikenali sebagai temasya kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik:

1. Tho Fook Hung yang diberi jolokan ‘Kapal perang mainan’ oleh atlet angkat berat lain berikutan kekuatan luar biasanya adalah atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas di Sukan Komanwel. Bertanding di bawah bendera Malaya, Fook Hung, yang ketika itu adalah jurujual barangan kemas memenangi acara bantamweight pada edisi 1950 di Auckland, New Zealand dengan temasya itu dikenali sebagai Sukan Empayar British.

2. Badminton menyumbang pingat paling banyak buat kontinjen negara di Sukan Komanwel dengan keseluruhan 27 pingat emas, 20 perak dan 12 gangsa sejak edisi 1966 diikuti angkat berat (10-8-17) dan menembak (3-10-13).

3. Bekas beregu badminton, Koo Kien Keat adalah atlet negara paling berjaya di Sukan Komanwel dengan memiliki lima pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2006 dan 2010.

4. Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat pertama kali pada 1998. Bukan setakat berjaya menganjurkan temasya itu dengan gemilang tetapi pencapaian kontinjen negara turut membanggakan apabila menduduki tempat keempat keseluruhan dengan meraih 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa.

5. G Saravanan adalah satu-satunya atlet olahraga negara yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan Komanwel. Beliau memenangi acara 50 kilometer jalan kaki ketika temasya 1998 di Kuala Lumpur.

6. Sapok Biki menjadi satu-satunya atlet tinju negara yang berjaya meraih pingat emas di Komanwel dengan memenangi kelas light flyweight pada edisi 1998 Kuala Lumpur.

7. Josiah Ng menjadi satu-satunya atlet berbasikal negara yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel. Beliau memenangi acara keirin ketika edisi 2010 di New Delhi, India.

8. Pencapaian terbesar negara di Sukan Komanwel adalah pada edisi 2010 di New Delhi, India dengan memenangi 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

9. Malaysia memegang rekod kekalahan terbesar dalam acara hoki wanita di Sukan Komanwel. Skuad kebangsaan wanita negara tewas 0-18 kepada pasukan Australia ketika edisi 2002 di Manchester, England.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 8:13 PM