UMAT Islam di Masjidilharam, pada Jumaat. FOTO AFP
UMAT Islam di Masjidilharam, pada Jumaat. FOTO AFP
Agensi

Makkah: Lebih 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Masjidilharam bagi menunaikan solat Tarawih pada Jumaat, lapor portal The National News.

Ketua Pengarah Direktorat Trafik Saudi Mohammed Al Bassami mengesahkan perkara berkenaan.

"Kami boleh mengesahkan bahawa lebih 2.5 juta jemaah menunaikan solat malam tadi (hari Jumaat).

Kami juga menggandakan pasukan keselamatan di seluruh kawasan untuk memudahkan kawalan orang ramai yang ingin bersolat di masjid pada malam paling suci di bulan Ramadan ini," katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa kehadiran jemaah bagi menunaikan solat pada malam berkenaan mencatatkan rekod tertinggi.

Masjidilharam dan halamannya mencapai kapasiti penuh dengan jemaah umrah dan orang ramai yang datang untuk menunaikan solat Isyak, Tarawih dan menyertai qiamullail.

Solat ketika qiamullail diakhiri dengan doa khas yang dipimpin oleh Presiden Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdulrahman Al Sudais.

Bagi kebanyakan orang, malam itu menandakan malam Lailatul Qadar, iaitu kemuncak bulan suci Ramadan, yang memperingati saat malaikat Jibril pertama kali menampakkan diri kepada Nabi Muhammad SAW dan penurunan al-Quran.

Pada malam itu juga, kanak-kanak dibenarkan berjaga malam dan kedai-kedai tetap dibuka sehingga waktu Subuh di negara-negara Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 11:00 AM