KEMUSNAHAN susulan pengeboman Israel di tengah Gaza. FOTO AFP
KEMUSNAHAN susulan pengeboman Israel di tengah Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengharamkan siaran saluran televisyen termasuk Al Jazeera, rangkaian milik Qatar.

Knesset, parlimen Israel, meluluskan rang undang-undang (RUU) yang membenarkan rangkaian asing yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara diharamkan sementara.

Larangan itu akan dilaksanakan untuk tempoh 45 hari, yang boleh diperbaharui.

Undang-undang itu akan terus berkuat kuasa sehingga Julai atau sehingga perang di Gaza, tamat.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, beliau akan bertindak segera untuk menutup pejabat tempatan rangkaian itu.

"Al Jazeera tidak akan lagi disiarkan dari Israel," kata Netanyahu menulis di X, menggelar rangkaian itu sebagai saluran pengganas.

Sekutunya, Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan terhadap langkah itu.

Kakitangan Al Jazeera yang berpangkalan di Gaza, satu-satunya wartawan yang dapat membuat liputan mengenai perang di lapangan, selepas wartawan asing dilarang memasuki wilayah itu.

Selama bertahun-tahun, pegawai Israel menuduh rangkaian itu berat sebelah dan anti-Israel.

Tetapi kritikan mereka terhadap penyiar itu semakin kuat sejak serangan pada 7 Oktober.

Pihak berkuasa mendakwa, rangkaian itu mempunyai hubungan rapat dengan Hamas yang dinafikan sekeras-kerasnya Al Jazeera.

Dalam satu kenyataan, Al Jazeera berkata, Netanyahu tidak dapat mencari sebarang justifikasi kecuali mengemukakan pembohongan dan fitnah baharu terhadap rangkaian dan hak pekerjanya.

"Al Jazeera menganggap Perdana Menteri Israel bertanggungjawab atas keselamatan kakitangannya dan premis rangkaian di seluruh dunia berikutan hasutannya dan tuduhan palsu ini dengan cara yang memalukan," katanya.

Saluran itu menuduh Israel sengaja menyasarkan kakitangannya apabila Hamza Al-Dahdouh, anak kepada Ketua Biro Al Jazeera Gaza, Wael Al-Dahdouh, terbunuh dalam serangan Israel.

Bagaimanapun, Israel menafikan pihaknya menyasarkan wartawan.

Al Jazeera pertama kali dilancarkan pada 1996 dan menggegarkan landskap media di Timur Tengah dengan menyiarkan kritikan terhadap kerajaan dan pemerintah di rantau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 12:08 PM