MOAMEN Al-Sharafi. FOTO tular.
MOAMEN Al-Sharafi. FOTO tular.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Sila jaga diri baik-baik. Mak sangat rindukan kamu. Mak doa setiap hari semoga Allah merahmati dan melindungi kamu daripada cedera dalam peperangan ini."

Itu mesej suara terakhir dihantar Amina kepada anak lelakinya sebelum terkorban, awal pagi semalam.

Amina bersama suami, Mahmoud serta 19 lagi ahli keluarga mereka termasuk anak dan menantu serta cucu terbunuh di kem Jabalia, utara Gaza akibat dibedil Israel.

Lebih memilukan anak lelaki Amina, Moamen Al-Sharafi menerima khabar duka itu ketika bertugas membuat liputan berita di selatan Gaza.

Wartawan Al Jazeera itu tidak dapat bertemu mereka sejak 45 hari lalu selepas terperangkap di selatan akibat pengeboman berterusan Israel.

Dalam perkongsian yang tular, kesedihan Moamen dapat dilihat pada raut wajahnya biarpun tanpa tangisan ketika dia bersiaran secara langsung bagi melaporkan kematian mangsa terkorban termasuk keluarganya sendiri.

Pada mulanya, lelaki ini dilihat tenang ketika melapor kejadian pengeboman terbaharu itu sebelum dia menghela nafas berat dan terhenti beberapa minit lalu menundukkan pandangannya ke bawah.

Moamen memberi isyarat dia 'okey' ketika kru di belakang tabir prihatin bertanya keadaannya.

Namun dari pandangan mata serta raut wajahnya yang suram, jelas menggambarkan dia cuba menahan sebak apabila keluarganya sendiri terkorban dalam serangan Israel.

Paling menyedihkan, katanya, serangan Israel yang berterusan membuatkan dia terperangkap di selatan Gaza dan tidak dapat pulang menyempurnakan pengebumian jenazah keluarganya.

"Kepungan rejim Zionis menyebabkan kami yang terpaksa ke selatan dihalang balik ke utara untuk mengebumikan adik-beradik, ibu bapa, saudara-mara dan orang tersayang.

"Saya sendiri tidak dapat lihat wajah keluarga saya buat kali terakhir," katanya.

Menurutnya, sehingga kini jenazah ahli keluarganya masih belum dapat dikeluarkan dari bawah runtuhan berikutan tidak mendapat akses pasukan penyelamat mahupun pihak lain.

"Israel melanggar semua undang-undang perang dan tiada siapa mengecam atau dapat melakukan apa-apa," katanya yang turut berkongsikan rakaman mesej suara terakhir ibunya itu.

Sejak beberapa hari lalu, kereta kebal dan pesawat Israel menggempur kem Jabalia sehingga mengorbankan dan mencederakan puluhan penduduk Palestin yang terperangkap di utara Gaza.

Pada Oktober lalu, keluarga Ketua Biro Al Jazeera di Gaza, Wael Al Dahdouh termasuk isteri, anak serta cucu terkorban dalam serangan udara Israel di tengah Gaza.

Serangan Israel turut mengorbankan sekurang-kurangnya 19 ahli keluarga jurutera bunyi Al Jazeera, Mohamed Abu Al-Qumsan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) berkali-kali menggesa hak pengamal media dilindungi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:42 PM