Patna: Polis di sini melancarkan gerakan memburu enam lelaki selepas seorang wanita didakwa dibakar hidup-hidup.

Dalam kejadian di daerah Nalanda di negeri Bihar, seorang lelaki Mahesh Yadav dilapor bertindak membakar isterinya selepas mereka bergaduh.

Wanita itu dikatakan berang dengan tindakan suaminya, pegawai pasukan khas polis tempatan, menjalinkan hubungan dengan adik iparnya.

Adik wanita berkenaan Sinku Kumar berkata, kakaknya berkahwin dengan Yadav pada 2009.

Tetapi, sejak beberapa bulan lalu, rumah tangga mereka bergolak apabila Yadav menjalinkan hubungan sulit dengan adik iparnya.

Sengketa rumah tangga mereka sampai ke kemuncaknya apabila wanita berkenaan melihat sendiri suaminya berdua-duaan dengan adik iparnya, kelmarin.

Dia memberontak dan cuba memukul suaminya.

Dengan bantuan lima rakannya, Yadav menangkap isterinya lalu membakar mangsa hidup-hidup.

“Adik saya didera sebelum dibakar,” kata Kumar.

Polis mendakwa enam orang terbabit dalam kejadian itu, termasuk Yadav.

Mereka bagaimanapun, melarikan diri sebelum polis menyerbu kampung berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:08 AM