PENDUDUK Palestin memeriksa kenderaan yang musnah akibat serangan Israel dan mengorbankan tiga anak lelaki ketua Hamas. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin memeriksa kenderaan yang musnah akibat serangan Israel dan mengorbankan tiga anak lelaki ketua Hamas. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tiga anak lelaki ketua Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh pada Rabu, dalam serangan Israel di Gaza, kata pemimpin Palestin dan tentera Israel, ketika perang di wilayah itu berterusan lebih enam bulan.

Haniyeh, yang berpangkalan di Qatar, memberitahu rangkaian Al Jazeera bahawa tiga anak lelakinya dan beberapa cucunya terbunuh apabila kereta dinaiki mereka terkena serangan.

Insiden itu ketika tiada tanda-tanda kemajuan dalam usaha pengantaraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar, yang berusaha menghentikan pertempuran.

"Hari ini tiga daripada anak lelaki saya, Hazem, Amir dan Mohammed, dan beberapa cucu saya syahid dalam serangan pada kereta (dinaiki) mereka," kata ketua politik kumpulan pejuang Palestin itu kepada Al Jazeera.

Kenyataan Hamas kemudiannya berkata, empat cucu Haniyeh adalah antara yang terbunuh dalam serangan "khianat dan pengecut", dan menamakan mereka sebagai Mona, Amal, Khaled dan Razan.

Kenyataan tentera Israel berkata, tenteranya membunuh "tiga anggota Hamas" yang "dalam perjalanan untuk menjalankan aktiviti keganasan" di tengah Gaza, mengenal pasti mereka sebagai Amir, Mohammed dan Hazem Haniyeh.

Pasukan Keselamatan Israel (IDF) dalam kenyataan kemudian mengesahkan tiga mangsa adalah anak Haniyeh, sambil menambah bahawa mereka adalah anggota sayap tentera Hamas.

Menurut Al Jazeera, sebuah dron mengenai kereta dinaiki keluarga itu di kem pelarian Al-Shati di utara Semenanjung Gaza.

Imej AFP menunjukkan penduduk Palestin di Bandar Gaza memeriksa kenderaan yang rosak teruk dan hangus.

Al Jazeera berkata, Haniyeh sedang melawat rakyat Palestin yang cedera yang dipindahkan dari Gaza untuk menerima rawatan di sebuah hospital di Doha, apabila dia menerima berita serangan berkenaan.

Pemimpin Hamas itu berkata, "penjajah (Israel) percaya... ia akan mematahkan tekad rakyat kita" dengan menyasarkan pemimpin pergerakan dan saudara-mara kami.

Haniyeh berkata, serangan maut itu akan gagal memaksa Hamas dalam usaha rundingan ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

"Sekiranya mereka (Israel) berfikir bahawa menyasarkan anak-anak saya... pada kemuncak perbincangan ini dan sebelum tindak balas usaha itu, jika mereka fikir ini akan memaksa Hamas menukar kedudukannya, ia adalah khayalan mereka," tambahnya.

"Darah anak-anak saya tidak lebih berharga daripada darah rakyat Palestin," katanya.

"Kami tidak akan berundur dengan tuntutan kami," tambahnya.

Haniyeh juga memberitahu Al Jazeera bahawa, secara keseluruhannya, hampir "60 ahli keluarga saya syahid, termasuk cucu saya, anak lelaki abang saya, anak lelaki kakak saya dan sepupu-sepupu saya".

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 9:05 AM