FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Jakarta: Seramai 166 warga Indonesia kini meringkuk dalam penjara di luar negara sementara menunggu pelaksanaan hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah dan pembunuhan, kebanyakannya di Malaysia dan Asia Barat, lapor agensi berita Antara.

Menurut seorang pegawai Kementerian Luar, jumlah tertinggi direkodkan di Malaysia berkaitan jenayah pengedaran dadah, manakala selebihnya di negara-negara Asia Barat terutamanya berkaitan pembunuhan.

Daripada jumlah itu, 108 pesalah berdepan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah dan 58 lagi kerana membunuh, dengan 133 daripada jumlah itu adalah lelaki dan 33 lagi adalah wanita.

Bagaimanapun, mereka yang dijatuhi hukuman mati di Malaysia tidak akan menjalani hukuman itu kerana negara berkenaan memansuhkan hukuman mati mandatori pada tahun 2023.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Warganegara dan Hal Ehwal Undang-undang Judha Nugraha berkata kerajaan Indonesia melalui kedutaannya di luar negara memberikan bantuan guaman dengan menyediakan peguam dan jurubahasa semasa prosiding undang-undang.

Kerajaan juga terbabit dalam usaha diplomatik, terutamanya untuk kes-kes yang telah diselesaikan secara sah, termasuk menghantar surat memohon pengampunan dari Duta Besar dan Presiden.

Beliau berkata, kementerian memudahkan pertemuan semula antara mereka yang ditahan di penjara dan ahli keluarga mereka sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membantu rakyatnya di saat-saat sukar di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 3:22 PM