SHERVIN Hajipour. FOTO IG.
SHERVIN Hajipour. FOTO IG.
Agensi

Tehran: Penyanyi Iran, Shervin Hajipour yang lagunya popular ketika protes besar-besaran pada 2022, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan lapan bulan, serta diarah menggubah lagu mengenai 'kekejaman' Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) pada Jumaat, pemenang Anugerah Grammy berusia 27 tahun itu dituduh 'menghasut untuk mengancam keselamatan negara' dan 'menyebarkan propaganda menentang kerajaan'.

Hajipour dipanggil polis dan disoal siasat atas dorongan melakukan protes iaitu dua hari selepas dia menyiarkan video dirinya menyanyikan lagu 'Baraye' yang membawa maksud 'Untuk…' di Instagram.

Hukuman itu selepas kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang berbeza pendapat di negara itu.

Hajipour yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan Anugerah Merit Khas untuk Lagu Terbaik bagi Perubahan Sosial di Grammy 2023 ditahan di Sari, wilayah Mazandaran pada September 2022 dan dibebaskan dengan jaminan pada Oktober tahun sama.

Lagunya menjadi lagu 'kebangsaan' bagi protes besar-besaran yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan Unit Moral Polis Iran, kerana tidak memakai hijab dengan sempurna.

HRANA dalam laporannya berkata, dua tahun selepas menjalani hukuman, Hajipour dilarang meninggalkan Iran dan dia juga diberi mandat untuk terbabit dalam aktiviti yang menggalakkan pencapaian Revolusi Islam termasuk menyusun kandungan mengenai budaya, sains dan seni, serta menghasilkan lagu mengenai kekejaman AS terhadap kemanusiaan.

"Hajipour juga diarah meringkaskan dua buku mengenai status wanita dalam Islam dan dokumen pencabulan hak asasi manusia oleh kerajaan AS sejak beradab," kata HRANA.

Di akaun Instagramnya, Hajipour memuat naik gambar keputusan mahkamah itu dan mengucapkan terima kasih kepada peguam dan pasukan pengurusannya.

Terdahulu, lagu ciptaan Hajipour itu mendapat lebih 40 juta tontonan di Instagram dan tular di platform media sosial lain, sebelum ia dipadamkan.

Lirik lagu itu antaranya berkisar ciapan pengguna X mengenai kematian Amini yang kebanyakan mereka menyalahkan kepimpinan ulama Iran atas masalah sosial, ekonomi dan politik semasa, lapor agensi berita Arab News.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 3:39 PM