ORANG ramai berjalan melepasi kedai menjual ganja di Sukhumvit, Bangkok. FOTO AFP
ORANG ramai berjalan melepasi kedai menjual ganja di Sukhumvit, Bangkok. FOTO AFP
Reuters

Bangkok: Thailand akan mengharamkan penggunaan ganja secara rekreasi, menjelang akhir tahun ini, tetapi terus membenarkan penggunaannya untuk tujuan perubatan.

Selepas ia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan ganja untuk perubatan pada 2018, dan kemudian penggunaan rekreasi pada 2022, puluhan ribu kedai ganja muncul dalam industri yang diunjurkan bernilai sehingga AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.6 bilion) menjelang tahun depan.

Pengkritik berkata, peraturan berperingkat dikeluarkan dan diterima pakai hanya dalam masa seminggu selepas penyahjenayahan ganja, dan kerajaan merangka undang-undang baharu untuk mengawal penggunaan ganja yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini.

Draf rang undang-undang itu akan dihantar ke Kabinet untuk diluluskan bulan depan sebelum menuju ke Parlimen untuk diluluskan sebelum akhir tahun, kata Menteri Kesihatan, Cholnan Srikaew.

Cholnan dalam satu temu bual berkata, undang-undang perlu ada untuk mengawal penggunaan ganja.

"Tanpa undang-undang untuk mengawal ganja ia akan disalahgunakan.

"Penyalahgunaan ganja memberi kesan negatif kepada kanak-kanak Thailand. Dalam jangka panjang ia boleh membawa kepada dadah lain," katanya.

Kerajaan terdahulu gagal untuk menolak perundangan melalui Parlimen sebelum pilihan raya umum pada Mei tahun lalu, menyebabkan tiada undang-undang untuk mengawal penggunaannya.

Menurut Cholnan, kedai ganja yang beroperasi secara haram tidak akan dibenarkan untuk diteruskan, manakala ganja buatan sendiri juga akan tidak digalakkan.

Menurutnya lagi, terdapat 20,000 kedai berdaftar secara sah yang menjual ganja.

Draf undang-undang itu menetapkan denda sehingga AS$1,700 (kira-kira RM8,055) untuk ganja bagi kegunaan rekreasi, manakala mereka yang menjual ganja untuk kegunaan sedemikian dan mengambil bahagian dalam pengiklanan atau pemasaran tunas, damar, ekstrak atau peranti merokok berdepan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga AS$2,800 (kira-kira RM13,000) atau kedua-duanya.

Ia juga meningkatkan hukuman bagi penanaman ganja tanpa lesen, dengan hukuman penjara antara satu hingga tiga tahun dan denda dari AS$560 (kira-kira RM2,653) hingga AS$8,000 (kira-kira RM37,000).

Cholnan berkata, permit juga akan diperlukan untuk import, eksport, penanaman dan penggunaan ganja secara komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 2:40 PM