Seorang pekerja menimbang ganja untuk pelanggan di kafe yang menawarkan bahan berkenaan di Bangkok, Thailand. - FOTO EPA
Seorang pekerja menimbang ganja untuk pelanggan di kafe yang menawarkan bahan berkenaan di Bangkok, Thailand. - FOTO EPA
Agensi

Bangkok: Kerajaan Thailand bakal mengeluarkan peraturan baharu berhubung penggunaan ganja, selepas kebenaran yang diberikan sejak 9 Jun lalu mencetuskan banyak aduan.

Ia termasuk kebimbangan bahan itu mudah diakses untuk tujuan rekreasi oleh sesiapa termasuk kanak-kanak.

Bangkok Post melaporkan, penjualan ganja yang meningkat mendadak mencetuskan kebimbangan.

Timbalan Setiausaha Tetap, Wantanee Wattana berkata, sekurang-kurangnya seorang dilaporkan meninggal dunia dan beberapa lagi termasuk pelajar berusia 16 dan 17 tahun dimasukkan ke hospital di Bangkok minggu ini untuk rawatan yang ditakrifkan sebagai pengambilan ganja berlebihan.

Draf rang undang-undang ganja sudah dibentangkan di parlimen, tetapi mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk diluluskan menjadi undang-undang.

"Tiada langkah kawalan selain dari mulut ke mulut," keluh Mana Nimitmongkol, ketua Pertubuhan Pencegahan Rasuah (Thailand), dalam satu catatan dalam talian awal minggu ini.

Semalam, peraturan baharu berkuat kuasa melarang perbuatan menghisap ganja secara terbuka di khalayak ramai serta penjualan ganja kepada individu di bawah umur 20 tahun, wanita hamil dan ibu menyusu.

Peraturan itu diterbitkan dalam Warta Diraja.

Beberapa peraturan lain termasuk mengharamkan ganja di sekolah, keperluan bagi peruncit memberikan maklumat yang jelas tentang penggunaan ganja dalam makanan dan minuman serta undang-undang kesihatan yang mentakrifkan asap daripada ganja sebagai gangguan awam yang boleh dihukum penjara dan denda.

Pengkritik berkata kerajaan Thailand disifatkan tergesa-gesa untuk menghapuskan hukuman jenayah ke atas ganja sebelum meluluskan undang-undang untuk memastikan bahan itu dikawal.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul berkata, beliau akan menandatangani peraturan Khamis depan untuk menetapkan ganja sebagai tumbuhan terkawal.

Peraturan itu akan menjadi alat untuk pegawai mengawal dan mencegah sebarang penyalahgunaan.

Jabatan Kesihatan sebelum ini ada mengeluarkan garis panduan penggunaan ganja dalam masakan yang antara lain menyebut seorang individu tidak boleh mengambil lebih dua hidangan mengandungi ganja dalam tempoh sehari.

Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan otak, dan penggunaan dalam kalangan kanak-kanak boleh menjejaskan perkembangan minda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 5:18 PM