GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Polis di India menahan seorang lelaki selepas tidak mahu membawa isterinya yang mahu bersalin ke hospital sehingga menyebabkan wanita itu meninggal dunia, lapor portal The Straits Times.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku di Thiruvananthapuram, ibu kota negeri selatan Kerala, pada 20 Februari lalu.

Polis berkata lelaki itu, yang hanya dikenali sebagai Nayas, kemudiannya ditahan kerana membunuh.

Lelaki itu menolak rawatan perubatan untuk isterinya, Shemeera Beevi, 36, kerana dia mahu isterinya bersalin di rumah dengan bantuan video YouTube.

Shemeera ialah isteri keduanya dan sudah mempunyai tiga anak melalui pembedahan Caesarean.

Bagi proses bersalin itu, lelaki itu didakwa cuba menggunakan akupunktur, kerana Nayas mendesak isterinya bersalin di rumah dengan bantuan isteri pertamanya.

Apabila Shemeera tidak sedarkan diri, Nayas membawanya dan bayi mereka yang baru lahir ke hospital swasta, di mana mereka berdua disahkan meninggal dunia.

"Kejadian itu mengejutkan dan satu tindakan membunuh. Ia tidak sepatutnya berlaku di Kerala," kata Menteri Kesihatan Kerala Veena George.

Siasatan sedang dijalankan, tambah polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 12:15 PM