ORANG ramai menyeberangi jalan dalam cuaca panas di Beijing, pada 16 Jun lalu. FOTO fail Reuters
ORANG ramai menyeberangi jalan dalam cuaca panas di Beijing, pada 16 Jun lalu. FOTO fail Reuters
Agensi

Beijing: China merekodkan suhu tertingginya, Ahad lalu.

Ia selepas perbandaran Sanbao yang terpencil di Turpan, Xinjiang menyaksikan suhu meningkat sehingga 52.2 darjah Celsius, sekali gus memecahkan rekod sebelumnya iaitu di Ayding dengan 50.3 Celsius pada 2015.

Rekod suhu 50 Celsius itu selepas wilayah Heilongjiang merekodkan suhu - 53 Celsius pada Januari di tengah-tengah musim sejuk yang melampau.

Negara itu mencatatkan bulan Jun terpanas sejak 2000, dengan Beijing mengalami suhu melebihi 35 Celsius selama 14 hari berturut-turut.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, suhu berulang kali melepasi paras tertinggi 45 Celsius di beberapa wilayah utara, manakala hujan lebat dan banjir membunuh puluhan di barat daya China.

Pakar meteorologi meramalkan, keadaan panas terik di negara ini akan berterusan untuk lima hari akan datang.

Justeru, agensi itu meminta rakyat bersiap sedia menghadapi panas yang tidak henti-henti.

Cuaca ekstrem turut menyaksikan bandar-bandar membuka tempat perlindungan untuk memberikan bantuan kepada rakyat mereka.

Majikan juga diarah menyekat aktiviti kerja luar kerana suhu yang meningkat.

Gelombang haba yang memecahkan rekod di China sejajar dengan trend global suhu melampau.

Sebahagian besar Eropah dan Amerika Utara dan Amerika Tengah sedang bergelut dengan suhu haba yang memecahkan rekod.

Gelombang haba berturut-turut mendorong suhu lebih tinggi di selatan Eropah dengan Sardinia, Itali dijangka mencecah paras 48 Celsius, memecahkan rekod suhu tertinggi pada 2021 di benua itu.

Sementara itu, selatan AS juga bergelut dengan kepanasan yang memecahkan rekod.

California mencatatkan suhu 53 Celsius pada Ahad.

Data Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menunjukkan, suhu melampau itu direkodkan ketika minggu pertama Julai, menandakan minggu paling panas pernah direkodkan di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 9:58 AM