POONAM Pandey. FOTO Agensi
POONAM Pandey. FOTO Agensi
AFP

New Delhi: Seorang model di India mendapat kecaman di media sosial, Sabtu lalu, selepas mendedahkan dirinya memalsukan kematian dalam hantaran di Instagram (IG) sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran kanser serviks.

Poonam Pandey berani melawan penyakit itu dan 'meninggal dunia', menurut hantaran di media sosialnya, sehari sebelumnya, tetapi pengumuman palsu itu disambut dengan kritikan dalam talian yang termasuk tuduhan bahawa ia hanya sekadar lakonan.

Berita itu disusuli dengan kemas kini pada halaman Wikipedianya untuk menggambarkan kematiannya, sementara bintang Bollywood menzahirkan penghormatan terhadap model itu.

Bagaimanapun segelintir yang lain menyatakan keraguan selepas menyedari bahawa ada rakaman Pandey di atas bot di Goa, dan kelihatan dalam keadaan sihat yang dimuat naik ke akaunnya empat hari sebelum pengumuman itu.

Model berusia 32 tahun itu mengakui kepada 1.3 juta pengikutnya dalam satu lagi video dimuat naik di IG bahawa kematiannya adalah satu penipuan.

"Ya, saya memalsukan kematian saya dan tahu ia keterlaluan... tetapi tiba-tiba kita semua bercakap tentang kanser serviks, bukan?

"Saya bangga dengan (apa yang) berita kematian saya, dapat dicapai," kata Pandey.

Bagaimanapun, ramai yang mengecam Pandey, termasuk ia disifatkan oleh seorang pengulas sebagai cubaan untuk mencari perhatian

"Terbabit dalam penipuan, seperti memalsukan kematian seseorang, dengan berselindung untuk meningkatkan kesedaran... bukan sahaja tidak beretika tetapi juga manipulatif.

"Sejujurnya tindakan itu memalukan. Lain kali tiada siapa yang akan menganggap serius kematian kamu," kata netizen.

Pandey memulakan kerjaya peragaannya pada 2010 dan pernah terpalit dengan beberapa kontroversi.

Dia berjanji untuk menanggalkan pakaian untuk pasukan kriket India, jika mereka memenangi Piala Dunia Kriket 2011, kemudian memuat naik video dalam talian dia menanggalkan pakaiannya di Stadium Wankhede, di mana perlawanan akhir kejohanan itu diadakan.

Pandey muncul dalam beberapa filem Bollywood termasuk satu filem thriller erotik pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:57 AM