GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki di Maharashtra di India, ditahan minggu lalu, kerana memalsukan kematiannya.

Dia berbuat demikian dengan menggunakan ular tedung untuk membunuh seorang lelaki lain bagi menuntut insurans sebanyak AS$5 juta (kira-kira RM20 juta) daripada sebuah firma insurans di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan media tempatan, Prabhakar Bhimaji Waghchaure, 54, pulang ke India pada Januari lalu selepas 20 tahun menetap di AS.

Pada 22 April lalu, pegawai polis di daerah Ahmednagar menerima laporan mengenai kematian lelaki terbabit.

Punca kematiannya diklasifikasikan kerana dipatuk ular oleh sebuah hospital.

Penduduk kampung yang mendakwa anak saudara lelaki terbabit bersekongkol dan mengesahkan kematian Waghchaure.

Namun, sebaik syarikat insurans memulakan siasatan, pihak berkenaan mendapati kematian itu hanya helah lelaki terbabit.

Penyiasat syarikat insurans itu kemudian mula menyiasat lebih mendalam kerana Waghchaure pernah menuntut insurans atas kematian isterinya pada 2017.

Superintendan Polis Ahmednagar, Manoj Patil memaklumkan The India Express bahawa isteri lelaki terbabit sebenarnya masih hidup.

Waghchaure dan rakan konspirasinya didapati membuat perancangan teliti untuk memalsukan kematian itu.

Penyiasat syarikat insuran kemudian menghubungi polis sebelum mereka pergi ke rumah lelaki terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Jiran lelaki itu memaklumkan dia tidak mengetahui sebarang kejadian individu dipatuk ular, namun ada melihat ambulans datang pada hari kejadian.

Polis kemudian mengesan Wagchaure menerusi rekod panggilan kerana polis sukar menjejaki saudara atau ahli keluarga lain.

Penjejakan itu berhasil apabila polis mendapati lelaki terbabit sebenarnya masih hidup.

Namun, sehari sebelum 'kematian' itu, lelaki terbabit berpindah ke daerah lain.

Siasatan lanjut juga mendapati, dua saudara Wagchaure menemui seorang lelaki daif dan pemilik ular, untuk menjayakan rancangannya itu.

Mereka dijanjikan wang tunai AS$46,835 (kira-kira RM194,365), jika dia berjaya menuntut insurans nyawa itu, kata polis.

Waghchaure membawa lelaki daif itu ke satu lokasi terpencil sebelum membiarkan ular tedung mematuk leher lelaki terbabit.

Selepas lelaki itu meninggal dunia kerana dipatuk ular, mayatnya dibawa ke rumah Waghchaure dan ambulans dihubungi.

Dia kemudian meminta anak saudaranya melaporkan 'kematian' sebelum menghubungi syarikat insurans untuk tuntutan.

Pegawai polis berkata, Waghchaure memilih lelaki daif itu kerana wajah menyerupainya.

Polis kemudian menahan Waghchaure bersama empat rakan sejenayahnya untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:30 AM