Dua remaja Korea Utara dihukum kerja berat 12 tahun. FOTO agensi
Dua remaja Korea Utara dihukum kerja berat 12 tahun. FOTO agensi
Agensi

Pyongyang: Korea Utara menghukum dua remaja berusia 16 tahun dengan melakukan kerja berat selama 12 tahun kerana kantoi menonton drama Korea (K-Drama) Korea Selatan.

Dalam video yang diperoleh BBC, dua remaja lelaki itu dilihat sedang menjalani hukuman disaksikan ratusan orang sebagai pengajaran.

Korea Utara melarang semua hiburan Korea Selatan termasuk program televisyen.

Berdasarkan undang-undang digubal kerajaan Korea Utara pada tahun 2020, menonton atau mengedar hiburan Korea Selatan boleh dihukum penjara yang serius atau mati.

Seorang pengulas televisyen berkata, budaya Korea Selatan semakin merebak di negara itu terutama dalam kalangan golongan remaja.

"Mereka baru berusia 16 tahun, tetapi mereka merosakkan masa depan mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, pembelot Korea Utara yang bersetuju berkongsi dengan BBC mendedahkan, dia pernah melihat seorang lelaki berusia 22 tahun ditembak skuad penembak kerana mendengar muzik Korea Selatan dan berkongsi dengan rakannya.

"Jika ditangkap menonton drama Amerika anda boleh lagi terlepas dengan rasuah.

"Tetapi kalau anda menonton drama Korea Selatan hukuman lebih berat iaitu mungkin ditembak mati.

"Bagi rakyat Korea Utara, drama Korea Selatan adalah 'ubat' yang membantu mereka melupakan realiti sukar mereka.," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pembelot berkata, apa sahaja yang boleh menimbulkan kekaguman orang ramai terhadap Korea Selatan termasuk K-Drama akan menjadi ancaman utama pimpinan Korea Utara.

"Di Korea Utara, kami mengetahui Korea Selatan hidup jauh lebih teruk daripada kami, tetapi apabila anda menonton drama Korea Selatan, ia dunia berbeza sekali.

"Nampaknya pihak berkuasa Korea Utara berhati-hati dengan realiti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 10:50 AM