KABUS tebal menyebabkan penerbangan di IGIA, New Delhi terpajsa dilencong dan dibatalkan. FOTO Agensi
KABUS tebal menyebabkan penerbangan di IGIA, New Delhi terpajsa dilencong dan dibatalkan. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGIA), di sini, terjejas teruk akibat kabus tebal.

New Delhi kini bergelut dengan cuaca sejuk melampau, yang mana pusat pemantauan cuaca rasmi ibu negara, di Safdarjung merekodkan suhu mencecah 3.3 darjah selsius pada Isnin.

Sementara, satu lagi pusat pemerhatian cuaca di Jalan Lodhi merekodkan cuaca 3.1 darjah selsius.

Indiatoday melaporkan, selain jarak penglihatan yang terhad, keadaan menjadi lebih teruk kerana hanya satu landasan di lapangan terbang di Delhi yang dilengkapi CAT III, iaitu landasan untuk operasi jarak penglihatan rendah.

Satu lagi landasan ditutup sejak pertengahan September, menurut ANI.

IGIA mempunyai dua landasan CAT III, manakala dua lagi landasan tidak memenuhi syarat CAT III.

Landasan CAT III merujuk kepada satu piawaian antarabangsa untuk instrumen ketepatan dan pendaratan dalam keadaan cuaca buruk.

Ia membabitkan autopilot termaju dan peralatan darat yang membolehkan pesawat mendarat dalam keadaan penglihatan yang sangat rendah, seperti kabus tebal atau hujan lebat.

Lebih 100 penerbangan ditangguhkan di IGIA pada pagi Isnin, menurut laman web penjejak penerbangan flightradar24.

Selain itu, lima penerbangan dilencongkan dari Lapangan Terbang Delhi ke Jaipur (empat penerbangan) dan Ahmedabad (satu) antara jam 1 dan 5 pagi pada Isnin.

Jarak penglihatan di IGIA pada 3 pagi adalah sifar, namun bertambah baik kemudian.

Lapangan Terbang Delhi turut meminta penumpang menghubungi syarikat penerbangan sebelum melakukan perjalanan.

Pihak berkuasa lapangan terbang menerusi ciapan di X (dahulunya Twitter) berkata, "Disebabkan kabus tebal, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Delhi mungkin terjejas.

"Penumpang diminta menghubungi syarikat penerbangan untuk maklumat penerbangan terkini.

"Sebarang kesulitan amat dikesali," kata ciapan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 3:14 PM