CINCIN pertunangan yang tidak dapat dilarikan suspek. FOTO Agensi
CINCIN pertunangan yang tidak dapat dilarikan suspek. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Hasrat pemuda untuk melamar dan mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya di Wonosobo, Jawa Tengah pada 31 Disember lalu iaitu menjelang tahun baharu tidak kesampaian apabila maut dibunuh selepas dirompak.

Portal Kompas melaporkan, kejadian berlaku pada Sabtu lalu kira-kira jam 8 malam waktu tempatan ketika pemuda itu berhenti di tepi jalan.

Dia kemudian dihampiri individu tidak dikenali yang kemudian merampas telefon bimbitnya namun cincin tunang tidak dilarikan.

Mangsa sempat melawan sebelum ditikam dengan pisau di lengan, dada, dan pinggang kiri.

Malangnya, mangsa tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tidar Magelang.

Jurucakap polis Magelang Kota berkata, pihaknya menangkap dua suspek yang juga penduduk Kelurahan Magersari, daerah Magelang Utara dengan masing-masing berusia 18 dan 29 tahun.

"Mangsa dalam perjalanan ke Wonosobo untuk bertunang. Majlis pertunangan sepatutnya diadakan pada Ahad iaitu 31 Disember lalu" kata Pegawai Polis Jabatan Siasatan Jenayah, Magelang Kota Samsudin kepada pemberita pada sidang media semalam.

Menurut Samsudin, salah seorang suspek adalah pelajar sekolah menengah atas (SMA) dan menunggang motosikal.

Katanya, suspek itu diminta menemani rakannya dan tidak mengetahui perancangan untuk melakukan rompakan..

"Rakannya iaitu seorang lagi suspek membunuh mangsa untuk membayar hutang dan menyara keluarganya.

"Dia mencari mangsa secara rawak dan mempunyai rekod jenayah malah pernah masuk penjara lima kali kerana melakukan kecurian di Kota Magelang," katanya.

Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 365 Ayat 4 kerana mencuri dengan kekerasan dan boleh dikenakan hukuman mati, penjara seumur hidup, atau penjara selama 20 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 2:00 PM