FOTO fail menunjukkan penduduk membawa barangan keperluan ketika banjir di Narathiwat, selatan Thailand. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan penduduk membawa barangan keperluan ketika banjir di Narathiwat, selatan Thailand. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Sekurang-kurangnya 12 nyawa terkorban akibat banjir besar yang melanda selatan Thailand, manakala lebih 18,000 keluarga di wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala, masih terjejas.

Kementerian Kesihatan Awam melaporkan bahawa lapan orang maut di Narathiwat, tiga di Yala dan seorang di Pattani.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Chaiwat Junthirapong dalam satu kenyataan berkata, sehingga 6 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu, 18,783 keluarga di 34 daerah di Pattani, Narathiwat dan Yala masih terjejas.

Beliau berkata, daripada jumlah penduduk yang terjejas itu, di Pattani, ia membabitkan seramai 9,632 keluarga, di Narathiwat (9,029 keluarga) dan Yala (122 keluarga).

Chaiwat berkata, pihak berkuasa tempatan menghantar kakitangan dan jentera, termasuk pam air dan pengorek kaut hidraulik, ke kawasan terjejas.

"Anggota pasukan itu gigih untuk mengalirkan air banjir dan menjalankan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Beliau berkata, pegawai juga sedang membuat tinjauan di kawasan yang dilanda banjir untuk menilai kerosakan rumah, infrastruktur dan tanah pertanian.

Sementara itu, media tempatan melaporkan keadaan banjir di Pattani masih belum pulih akibat daripada limpahan air Sungai Pattani dan Sungai Sai Buri.

Selain itu, premis perniagaan dan rumah di bandar itu, turut ditenggelami banjir.

Penduduk di Pattani berkata, air berada pada paras tertinggi dalam tempoh kira-kira lima dekad di sepanjang Sungai Sai Buri.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam Cholnan Srikaew berkata, 43 pusat pemindahan dibuka di seluruh wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala bagi menyediakan perlindungan kepada 7,000 penduduk yang terjejas.

Sejak banjir mula melanda selatan Thailand pada 22 Disember lepas, bencana itu menjejaskan 109,282 keluarga di lima wilayah – Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 3:37 PM