FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Singapura: Lelaki Singapura yang membuat tuduhan palsu terhadap wanita yang menolak cintanya dengan memfailkan saman S$3 juta (RM10.48 juta) kini berdepan enam pertuduhan mahkamah, semalam.

K Kawshigan, 31, didakwa bersubahat menipu enam mangsa dengan menawarkan sindiket MacBook palsu bernilai S$23,800 (RM83,134.89).

Dia dituduh bersubahat dengan dua lelaki, Cheng Zie Sian dan Tee Boon Siong untuk menipu enam mangsa dengan jumlah keseluruhan S$23,800 antara Oktober hingga November tahun ini.

Menurut kertas pertuduhan, mangsa ditipu daripada jumlah wang antara S$990 (RM3,458.13) hingga S$12,000 (RM41,916.75) untuk produk MacBook yang ternyata palsu.

Kawshigan didakwa menghubungi pihak kurier untuk menghantar peranti itu kepada mangsa yang menyebabkan mereka memindahkan wang ke akaun bank.

Menerusi rakaman video, Kawshigan hadir di mahkamah semalam dengan berpakaian kolar putih.

Dia dilihat mendengar prosiding tanpa sebarang reaksi.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan membuat permohonan reman lanjut selama seminggu.

Pendakwa raya berkata, pegawai penyiasat menemui bukti dengan lebih banyak laporan dibuat terhadap Kawshigan.

Katanya, lebih banyak masa diperlukan untuk mendapatkan semula barang bukti dan melakukan serbuan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan perbicaraan bersambung Januari tahun depan.

Kawshigan sebelum ini viral selepas memfailkan saman terhadap Nora Tan Shu Mei selepas wanita itu didakwa menolak cintanya sehingga menyebabkan trauma emosi.

Nora didakwa gagal memperbaiki hubungan mereka dan menyebabkan trauma kepadanya sebagai mengetahui dia hanya dianggap sebagai kawan.

Menurut dokumen mahkamah yang kemudiannya diperoleh CNA, lelaki itu mendakwa tindakan wanita itu menyebabkan kerosakan pada reputasi cemerlangnya, diikuti dengan trauma, kemurungan dan kesan kepada hidupnya dalam tempoh 24 bulan.

Tuntutan di Mahkamah Majistret bagaimanapun sudah dibatalkan oleh Timbalan Pendaftar Lewis Tan, pada Januari lalu.

Mahkamah memutuskan saman sivil itu sebagai penyalahgunaan proses dan berkata mahkamah tidak akan menjadi aksesori kepada percubaan Kawshigan untuk memaksa pembabitan Nora.​

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 11:12 AM