Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, membenarkan seorang peguam menarik diri daripada mewakili seorang daripada defendan dalam saman sivil yang dikemukakan keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.

Hakim Datuk Suraya Othman membenarkan permohonan Datuk Hazman Ahmad itu, yang sebelum ini mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes berkenaan, tanpa kos.

Sementara itu, mahkamah juga memerintahkan peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili plaintif, supaya mengemukakan borang tertentu kepada pejabat Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya 23 Jun ini.

Borang berkenaan perlu dikemukakan bagi membolehkannya mengemukakan notis permohonan untuk meminda writ saman dan kenyataan tuntutan melibatkan seorang lagi defendan, Koperal Sirul Azhar Umar, yang kini berada di Australia.

Suraya berkata, protokol tertentu perlu dipatuhi untuk menyerahkan notis berkenaan kepada Sirul melalui konsulat Malaysia di Sydney, Australia.

Ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta dua anak lelaki mendiang, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007.

Mereka menamakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah dan Sirul Azhar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defenden.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh wanita Mongolia berusia 28 tahun itu pada 2006.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada tuduhan itu pada Oktober 2008, tanpa dipanggil membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Januari tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu apabila mendapati Sirul Azhar serta Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi.

Mereka mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan dua pegawi polis tersebut untuk membunuh Altantuya.

Mereka juga mendakwa Altantuya ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar hingga berkecai di satu kawawan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006.

Plaintif seterusnya mendakwa, akibat tindakan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak itu, mereka mengalami penderitaan, terutama anak Altantuya yang kehilangan ibu tersayang serta sumber rezeki. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 9:55 PM