FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Seoul: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan kerana membakar sehelai kertas tisu yang diletakkan di antara jari kaki rakan sekerjanya yang sedang tidur.

The Straits Times yang memetik laporan media Korea Selatan, Rabu lalu melaporkan, selain kesalahan itu, suspek ditahan kerana merakam dan berkongsi tindakan gurauan melampaunya itu di media sosial.

Insiden berlaku pada 12 Oktober apabila suspek yang bekerja di sebuah bar terletak di Sangmujigu di Gwangju, Korea Selatan itu meletakkan sekeping tisu di antara jari kaki rakan sekerjanya dan membakarnya.

Dia kemudian merakam adegan itu sambil berkongsi video di akaun media sosialnya.

Dalam video itu, mangsa berusia 20-an sedang tidur dan apabila menyedari kakinya terbakar, dia mula bergelut untuk mengeluarkan tisu. Suspek terus merakam mangsa.

Mangsa mendakwa suspek telah melakukan tindakan serupa kepadanya sebanyak enam kali.

"Pekerja lain menarik stoking saya dan terus membakarnya. Dia nampaknya seronok dan terus melakukannya," kata mangsa yang dipetik berita tempatan.

Suspek dikatakan tidak menunjukkan rasa kesal apabila berdepan dengan mangsa, dan mendorong mangsa menghubungi polis, mendakwa hanya perlu membayar denda atas perbuatannya.

Menurut polis, mangsa melecur tahap dua di kakinya yang memerlukan rawatan perubatan selama enam minggu.

Polis bercadang untuk menghantar suspek ke pihak pendakwaan berdasarkan pertuduhan keganasan khas yang dikenakan terhadap seorang lagi mangsa, kata polis pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 3:54 PM