TAJ MAHAL
TAJ MAHAL
Agensi

RUSUHAN besar-besaran yang berlaku di India menyebabkan kedatangan pelancong asing ke negara itu jatuh mendadak sekali gus memberi kesan terhadap industri pelancongannya.

Antara paling teruk terjejas adalah Taj Mahal apabila dalam tempoh dua minggu lalu kira-kira 200,000 pelancong tempatan dan asing membatalkan lawatan ke lokasi pelancongan paling popular di dunia itu.

“Kedatangan pelancong pada Disember tahun ini turun mendadak sebanyak 60 peratus berbanding tahun lalu,” kata seorang inspektor polis, Dinesh Kumar.

Kumar adalah pegawai di sebuah balai polis pelancong di Taj Mahal dan memiliki akses kepada data pelawat.

“Pelancong India dan asing menghubungi bilik kawalan kami untuk memastikan keselamatan di sini.

“Kami memberi jaminan mengenai keselamatan di Taj Mahal tetapi ramai yang memutuskan untuk tidak datang ke sini,” katanya.

Taj Mahal yang terletak di bandar Agra di negeri Uttar Pradesh menjana pendapatan hampir AS$14 juta (RM57.51 juta) setiap tahun daripada bayaran kemasukan.

Uttar Pradesh adalah lokasi rusuhan paling buruk tercetus dan mencatatkan angka kematian yang paling tinggi.

Sejak dua minggu lalu, rusuhan besar-besaran tercetus di India bagi membantah undang-undang kerakyatan baru yang dilihat sebagai anti-Islam yang menyaksikan 25 orang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 12:00 AM