Jokowi dan Biden pada pertemuan di Rumah Putih, Washington. - FOTO Reuters
Jokowi dan Biden pada pertemuan di Rumah Putih, Washington. - FOTO Reuters
BERNAMA

Jakarta: Presiden Indonesia Joko Widodo meminta rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk campur tangan dan menghentikan konflik serta kekejaman yang sedang berlaku di Gaza, Palestin.

"Ini adalah isu yang sangat menyayat hati untuk umat manusia," katanya kepada Biden dalam pertemuannya di Rumah Putih pada Isnin, menurut kenyataan Sekretariat Presiden.

Joko Widodo berkata Indonesia berharap agar perkongsian antara kedua-dua negara boleh menyumbang kepada perdamaian dan kemakmuran di peringkat serantau dan global.

Dalam pertemuan mereka, beliau yang juga dikenali sebagai Jokowi menekankan kepentingan AS sebagai rakan kongsi utama bagi Indonesia.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan perkongsian antara negara mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

"Bagi Indonesia, kerjasama ekonomi, termasuk menangani isu rantaian bekalan, adalah sangat penting," kata Jokowi.

Biden pula berkomitmen meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara melalui Perkongsian Strategik Komprehensif yang melambangkan era baharu kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk keselamatan.

Menyedari peranan penting Indonesia dalam peralihan kepada tenaga bersih, Biden menekankan perlunya memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama dalam membina rantaian bekalan yang selamat dan mengatasi cabaran krisis iklim.

Biden turut berjanji untuk terus meningkatkan kerjasama antara AS dan ASEAN, dengan tujuan memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur, sambil menghargai kepimpinan Indonesia di ASEAN pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 5:34 PM