AL-SULTAN Abdullah berkenan beramah mesra dengan Presiden Indonesia Joko Widodo ketika menerima menghadap di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
AL-SULTAN Abdullah berkenan beramah mesra dengan Presiden Indonesia Joko Widodo ketika menerima menghadap di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Negara hari ini.

Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, bersama isterinya Iriana Joko Widodo tiba pada 3.35 petang bagi menghadiri majlis santapan petang bersama Seri Paduka dan meluangkan masa kira-kira sejam di Istana Negara.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama pada majlis menghadap itu Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi.

Terdahulu, Jokowi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana di Putrajaya, yang menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang ditandatangani wakil kementerian dan agensi berkaitan kedua-dua negara serta melawat kawasan sekitar ibu kota.

Jokowi dijadual berlepas pulang ke Indonesia petang ini selepas lawatan kerja dua hari atas jemputan Anwar susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke republik itu pada Januari lepas.

Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah pada Ogos 2019 selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April 2019.

Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan nilai dagangan RM130.14 bilion (US$29.55 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada tahun sebelumnya.

Kali terakhir Seri Paduka berangkat ke Indonesia bagi Lawatan Negara ialah pada 26 hingga 29 Ogos 2019, yang merupakan lawatan sulung Al-Sultan Abdullah ke republik itu sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 5:49 PM