KENDERAAN yang dipandu masuk ke dalam kolam renang di sebuah kondominium. FOTO Ihsan Hillside
KENDERAAN yang dipandu masuk ke dalam kolam renang di sebuah kondominium. FOTO Ihsan Hillside
Agensi

Singapura: Pemandu Gojek yang memandu ke dalam kolam renang sebuah kondominium dengan penumpang warga emas di dalam keretanya dipenjara dua minggu pada Jumaat.

CNA melaporkan, Chean Tuck Heng, warga Singapura berusia 67 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan terburu-buru yang membahayakan nyawa manusia dengan jentera.

Dia memandu sehingga 60 meter melalui laluan yang salah menuju ke kolam renang, mengabaikan arahan daripada pengawal keselamatan dan penumpangnya sendiri, dengan mengatakan dia tahu jalan dan kolam itu hanyalah 'air hujan'.

Ketika prosiding mahkamah diberitahu, Chean menerima tempahan Gojek pada kira-kira 8 malam pada 28 Februari tahun ini.

Tempahan itu dibuat oleh cucu penumpang, seorang wanita berusia 79 tahun.

Chean mengambil penumpang dari Sengkang dan memandunya ke kondominium The Hillside di sepanjang jalan Bukit Timah, dan ketika itu cuaca hujan.

Cucu penumpang itu menunjukkan dalam tempahannya untuk membelok ke kanan pertama selepas rumah pengawal keselamatan untuk sampai ke lokasi penghantaran.

Sebaik tiba di kondominium The Hillside, seorang pegawai keselamatan menyuruhnya membelok ke kanan di simpang pertama.

Namun, Chean memandu melepasinya dan memaklumkan dia 'tahu jalannya' dan berhasrat untuk membelok ke kanan di persimpangan kemudian.

Chean akhirnya membuat pusingan ke arah laluan pejalan kaki dan melanggar beberapa pasu bunga.

Seorang lagi pengawal keselamatan memberitahu Chean dia memandu di kawasan tidak dibenarkan dan berada berhampiran kolam renang.

Lelaki itu mendakwa bahawa ia adalah 'air hujan' dan bukan kolam renang.

Chean kemudian memandu ke hadapan, dengan tayar hadapan keretanya memasuki kolam, sebelum akhirnya berhenti.

Penumpang berjaya keluar tanpa sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 4:06 PM