SONALI Sen datang ke balai polis pada Isnin dengan beg pakaian beroda yang mengandungi mayat ibunya. FOTO Agensi
SONALI Sen datang ke balai polis pada Isnin dengan beg pakaian beroda yang mengandungi mayat ibunya. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang ahli fisioterapi ditahan polis apabila hadir ke balai polis Bengaluru, negeri Karnataka di India, bersama mayat ibunya yang dimasukkan di dalam beg pakaian.

Mirror UK melaporkan, wanita berkenaan, Sonali Sen, datang ke balai polis pada Isnin lalu, dengan beg pakaian beroda yang mengandungi mayat seorang wanita lain yang dalam keadaan meringkuk.

Sonali, 39, mengaku kepada polis bahawa dia menggunakan selendang untuk mencekik ibunya yang berusia 71 tahun, dikenal pasti dalam laporan sebagai Biva Pal, sehingga mangsa mati.

Suspek sebelum itu memaksa mangsa menelan pil tidur dan ketika kejadian, anak suspek juga berada di dalam rumah.

Semasa pemeriksaan lanjut, polis mendapati suspek turut menyembunyikan bingkai gambar arwah suami ibunya di dalam beg dengan mayat itu.

Ketua polis tempatan C K Baba berkata, Sonali memberikan kira-kira 20 pil tidur kepada ibunya pada pagi Isnin.

"Selepas mangsa mengadu sakit perut akibat pengambilan pil itu, mangsa itu kemudian dicekik hingga mati oleh suspek yang juga anak perempuannya.

"Kejadian suspek mencekik ibunya dengan selendang itu dipercayai berlaku antara 11 pagi hingga 11.30 pagi selepas suami suspek keluar bekerja.

"Ketika pembunuhan itu, ibu mentuanya dan anaknya turut berada di dalam rumah itu tetapi di dalam bilik berbeza," katanya.

Menurut polis, terdapat pertengkaran yang kerap antara Biva dan ibu bapa mentua Sonali.

Sonali diketahui ada mengambil ubat tekanan darah tinggi, tetapi difahamkan tidak mempunyai sejarah penyakit mental.

Polis percaya sebagai ibu kepada seorang anak lelaki autistik, Sonali mungkin mengalami tekanan yang teruk, ditambah lagi tinggal bersama ibu bapa mentua dan ibu kandung.

Sonali kini disiasat kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 12:38 PM