ALI berkongsi pemandangan Riyadh dari ISS.  FOTO Twitter Ali al-Qarni
ALI berkongsi pemandangan Riyadh dari ISS. FOTO Twitter Ali al-Qarni
Agensi

Riyadh: Dua angkasawan Arab Saudi, memanfaatkan peluang berada di angkasa lepas dengan merakam gambar pemandangan indah dalam negara.

Ali al-Qarni dan Rayyanah Barnawi mencipta sejarah sebagai warganegara Arab Saudi pertama yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Kedua-dua angkasawan itu yang sudah selamat kembali di bumi menggunakan media sosial untuk mendokumentasikan pengembaraan mereka di angkasa lepas.

Ali berkongsi pemandangan di ibu negara menerusi akaun Twitter miliknya, Ahad lalu.

"Riyadh bersinar walaupun di angkasa," ciap Ali dengan berkongsi gambar bendera Arab Saudi ketika berada di dalam ISS.

Sementara itu Rayyanah muncul sebagai wanita Arab Saudi pertama yang mengembara ke angkasa lepas dan dihantar ke ISS.

Dia berkongsi video Makkah dari angkasa lepas dengan keterangan 'seluruh kerajaan bersinar'.

Arab Saudi mencipta sejarah minggu lalu selepas menghantar dua angkasawan ke ISS dari Pusat Angkasa Kennedy, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) di Florida.

Misi ini menjadikan Arab Saudi negara pertama menghantar dua angkasawan serentak.

Sepanjang misi ini, Ali dan Rayyanah menjalankan eksperimen dan penyelidikan termasuk pencegahan dan ramalan kanser, mikrograviti, pembenihan awan, pengaturcaraan semula sel dan sebagainya.

Dalam temu bual dengan Al Arabiya English baru-baru ini, Pesuruhjaya Angkasa Arab Saudi, Dr Haithem Altwaijri berkata, misi ini juga akan menjadi inspirasi kepada anak muda negara itu supaya mempelajari subjek sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan (STEM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 11:18 AM