KOKAIN ditemukan dalam papan luncur air. FOTO Ihsan Kementerian Dalam Negeri Uruguay
KOKAIN ditemukan dalam papan luncur air. FOTO Ihsan Kementerian Dalam Negeri Uruguay
Agensi

Montevideo: Polis Uruguay, baru-baru ini, menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang menyeludup kokain dari Amerika Selatan ke Eropah menggunakan papan luncur air.

Tiga warga Itali ditahan dalam operasi membabitkan Unit Narkotik Polis Sepanyol, Portugal dan Itali.

Taktik berkenaan terbongkar selepas anjing pengesan berjaya mengesan bau mencurigakan pada enam papan luncur air sebelum Polis Uruguay mengambil alat itu.

Polis menemui 50 kilogram kokain dalam enam papan luncur air itu selepas melakukan imbasan dan menebuk bungkusan yang tersorok dalam peralatan itu.

Pejabat Pendakwa Raya Uruguay berkata, operasi itu lambang kerjasama antarabangsa dalam membanteras dadah.

Menteri Dalam Negeri Uruguay berkata, negara komited sepenuhnya memerangi pengedaran dadah.

Katanya, mereka akan mengetatkan kawalan di pelabuhan dan lintasan sempadan negara untuk melumpuhkan penyeludupan dadah.

Pengedar dadah menggunakan Uruguay yang bersempadan dengan Brazil dan Argentina sebagai negara transit untuk menghantar dadah dari bahagian pengeluar dadah di Amerika Selatan ke Eropah.

Polis berpendapat penyeludup Itali memasuki Uruguay dengan merentasi sempadan darat dengan Brazil sebelum ke Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 12:08 PM