FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Selepas 14 bulan hilang tanpa khabar berita, tengkorak dan tulang belakang wanita warga emas dikenali nenek Rumini ditemukan di lorong berhampiran rumahnya di Kampung Wanarejan Selat, Pemalang, Jumaat lalu.

Portal Kompas melaporkan, penemuan tengkorak manusia itu mengejutkan penduduk setempat selepas sekian lama wanita berusia 74 tahun dillaporkan hilang.

Tengkorak dan tulang itu ditemukan oleh Lani, 54, iaitu penduduk Kampung Wanarejan di lorong rumahnya.

Lani mengaku baru datang di rumah milik nenek Rumini selepas mengetahui kediaman wanita itu sudah lama kosong tidak berpenghuni.

"Kami sudah tinggal di rumah ini selama empat bulan.

"Ketika membersihkan lorong pada sebelah barat rumah, ada bau hanyir dan selepas diperiksa, ada tengkorak dan tulang manusia," katanya.

Menurut Lani, nenek Rumini memiliki seorang anak lelaki yang tinggal di Bogor, Jawa Barat.

Lantaran jarang dijenguk anaknya, Rumini tinggal sebatang kara di rumahnya.

"Penduduk di sini termasuk saudara-maranya menyangka nenek Rumini ditahan polis tempatan kerana keadaannya yang uzur.

"Alhamdulillah, saya diberi petunjuk Allah untuk tinggal di rumah ini yang akhirnya menemukan jasad nenek Rumini," katanya.

Penemuan tulang Rumini disahkan Ketua Polis Pemalang Mohammad Ghufron.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiada unsur penganiayaan dan jasadnya sudah diserahkan kepada saudara-mara untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 12:24 PM