Seorang peminat BTS menunjukkan gambar kumpulan berkenaan yang dilekatkan pada telefon pintarnya. - FOTO AFP
Seorang peminat BTS menunjukkan gambar kumpulan berkenaan yang dilekatkan pada telefon pintarnya. - FOTO AFP
BERNAMA

Seoul: Artis pop Korea atau lebih dikenal K-Pop mengungguli carta album terlaris dunia sepanjang tahun lalu, dengan membarisi lapan daripada 10 album tersenarai.

Kumpulan super K-Pop, BTS antara yang mengungguli Carta Jualan Album Global Persekutuan Antarabangsa Industri Fonografi (IFPI) selaku organisasi mewakili industri rakaman seluruh dunia itu.

BTS mengekalkan kedudukan lima teratas dalam carta itu selama tiga tahun berturut-turut, apabila disenarai pada tempat kedua melalui album 'Proof'.

Bagaimanapun, puncak carta diungguli Penyanyi Taiwan, Jay Chou, menerusi album 'Greatest Works of Art', manakala album 'Midnights' oleh penyanyi dan komposer kelahiran Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift menduduki tempat ketiga.

Kedudukan dalam Carta Jualan Album Global IFPI dinilai secara tahunan berdasarkan bilangan unit album terjual merentas semua format fizikal, termasuk muat turun album penuh secara berbayar.

Selain BTS, kumpulan K-Pop, Stray Kids, disenarai pada tempat keempat menerusi album 'Maxident', diikuti rapat Seventeen melalui album 'Face the Sun' di tempat kelima dan Enhypen di tangga keenam melalui album 'Manifesto: Day 1'.

Kumpulan wanita paling popular di dunia, Blackpink pula menduduki tempat ketujuh menerusi album 'Born Pink', diikuti Stray Kids dengan album 'Ordinary' di tangga kelapan.

Album 'Sector 17' oleh Seventeen pula berada di tempat kesembilan dan kumpulan Tomorrow X Together di tempat ke-10 menerusi album 'Minisode 2: Thursday's Child'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 5:21 PM