KUMPULAN BTS.
KUMPULAN BTS.
AFP

SEOUL: Bintang K-pop, BTS akan berehat panjang dari industri muzik selepas mengungguli carta di Amerika Syarikat dan Britain awal tahun ini.

Namun, tempoh rehat itu mungkin selama beberapa minggu berikutan kumpulan dianggotai tujuh penyanyi terbabit bakal membuat persembahan di konsert kontroversi Arab Saudi pada 11 Oktober ini.

Pengurus di Big Hit Entertainment dalam kenyataannya berkata, BTS buat kali pertama akan berehat panjang selepas kemunculan mereka enam tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, tempoh terbabit membolehkan BTS tampil sebagai pemuzik dan pencipta lagu.

“Sudah tiba masa untuk mereka menikmati kehidupan seharian sebagai pemuda biasa berusia 20-an.

“Sekiranya peminat bertembung dengan anggota BTS di tempat tidak dijangkakan, kami meminta peminat supaya menghormati waktu peribadi mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan tempoh rehat kumpulan berkenaan.

Ratusan ribu peminat mengucapkan selamat bercuti kepada BTS di akaun Twitter kumpulan itu yang mempunyai 21.3 juta pengikut.

BTS atau Bangtan Sonyeondan yang bermaksuda Bulletproof Boy Scouts mempunyai peminat di serata dunia dan menjadi kumpulan K-pop pertama mengungguli carta Amerika Syarikat dan Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 12:21 PM