LELAKI memegang bendera Thailand. FOTO Fail AFP.
LELAKI memegang bendera Thailand. FOTO Fail AFP.
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha berkata beliau telah mengeluarkan dekri bagi membubarkan Parlimen, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada Mei.

Dekri itu telah dikemukakan untuk pengesahan diraja.

"Kita perlu menunggu sehingga ia disiarkan dalam Warta Diraja," katanya kepada pemberita di Chiang Mai pada Jumaat.

Dekri itu akan dikuat kuasa sebaik sahaja diterbitkan dalam Warta Diraja.

Media tempatan melaporkan perutusan itu mungkin diterbitkan pada 20 Mac.

Dewan Rakyat hanya akan melengkapkan penggal empat tahunnya pada 23 Mac.

Di bawah perlembagaan, pilihan raya umum akan diadakan sekurang-kurangnya 45 hari selepas pembubaran parlimen dan tidak melebihi 60 hari.

Bagaimanapun, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 45 hari selepas penggal Dewan Rakyat berakhir pada 23 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pilihan raya selepas pembubaran.

Terdapat spekulasi bahawa pilihan raya bakal berlangsung pada 7 Mei atau 14 Mei iaitu Ahad.

Pilihan raya umum terakhir Thailand berlangsung pada 24 Mac 2019.

Prayuth dijangka bertanding dalam pilihan raya umum akan datang walaupun had lapan tahun sebagai perdana menteri berakhir pada 2025.

Prayuth, 68, bekas jeneral tentera mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2014, akan bertanding di bawah parti baharu- Parti Negara Thai Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 7:54 AM