PRAYUTH
PRAYUTH
Reuters

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-Cha semalam mengumumkan untuk menarik balik sekatan ke atas aktiviti politik, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya umum pada tahun depan.

Parti politik utama di Thailand sering menggesa kerajaan menarik balik larangan itu bagi membenarkan mereka membuat persediaan untuk berdepan pilihan raya umum.

Prayuth sebelum ini pernah memberitahu, pilihan raya umum Thailand akan diadakan pada November 2018.

“Kerajaan akan menggunakan Artikel 44 untuk menyelesaikan masalah (kebuntuan aktiviti politik) ini,” katanya kepada wartawan merujuk kepada klausa perlembagaan yang memberi kuasa mutlak kepada tentera.

Bagaimanapun, Prayuth tidak menyatakan bila perintah itu akan dikuatkuasakan.

Menurut prosedur biasa, perintah eksekutif mesti diterbitkan dalam Warta Diraja sebelum menjadi undang-undang.

Jurucakap kumpulan Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator, Thanawut Wichaidit berkata, pengumuman itu adalah langkah pertama untuk pilihan raya dan demokrasi.

“Ini sememangnya perkara baik,” katanya sambil menambah junta juga harus menarik balik larangan ke atas perhimpunan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 8:13 AM