TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
Agensi

Manila: Beberapa pengunjung cedera selepas terjatuh ketika menaiki eskalator sebuah pusat beli-belah di Filipina.

Kejadian berlaku kira-kira 5 petang, pada Ahad lalu, di bandar Santa Rosa dekat selatan bandar ini.

Video dimuat naik di YouTube menunjukkan eskalator membawa sekumpulan pengunjung naik ke satu tingkat tetapi ia arahnya 'mengundur' secara tiba-tiba.

Dalam tempoh dua saat pertama, mereka yang berada di eskalator dilihat dapat berpegang pada pemegang tangan.

Apabila eskalator mengundur laju, ramai yang hilang keseimbangan sebelum terjatuh di atas satu sama lain.

Ia mengambil masa kira-kira tujuh saat sebelum eskalator itu berhenti sepenuhnya.

"Semua orang di eskalator jatuh, ada yang berdarah," lapor GMA News Online memetik seorang saksi sebagai berkata.

Gretchen Manaig, 34, memberitahu laman hiburan dalam talian PEP bahawa tiga daripada anaknya berusia lima, enam dan 12 tahun adalah antara mereka yang cedera apabila pengunjung lain jatuh di atas mereka.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku. Semuanya berlaku begitu pantas.

"Tiba-tiba, ada kira-kira 10 orang berada di atas mereka," kata Manaig kepada PEP.

Menurut Manaig, anak-anaknya kini takut untuk memijak eskalator.

Sementara itu, jurucakap kumpulan SM selaku pengendali pusat beli-belah yang menjalankan rangkaian runcit terbesar Filipina berkata, mereka sudah menghubungi mangsa yang cedera untuk menanggung bil perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 10:15 AM