AZIZ Abdullah (kanan) bersama keluarga sebelum ditahan di Thailand. FOTO Agensi
AZIZ Abdullah (kanan) bersama keluarga sebelum ditahan di Thailand. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Kematian seorang pencari suaka Uighur berusia 49 tahun di Thailand mendorong rayuan daripada kumpulan hak asasi manusia untuk mencari penyelesaian berperikemanusiaan terhadap nasib kira-kira 50 lelaki Uighur yang ditahan selama sembilan tahun.

BBC melaporkan, Aziz Abdullah meninggal dunia selepas dia rebah di Pusat Tahanan Imigresen di Bangkok.

Dia adalah sebahagian daripada lebih 350 pencari suaka Uighur yang melarikan diri dari Xinjiang di barat China pada 2013 dan ditahan di Thailand.

China dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap Muslim Uighur dan minoriti lain di Xinjiang, dan kumpulan hak asasi manusia percaya lebih sejuta orang ditahan dalam rangkaian kem tahanan yang luas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Beijing, yang menggelar ia sebagai 'kem pendidikan semula', menafikan semua dakwaan penderaan di kem tahana itu.

Aziz Abdullah pernah menjadi petani di bahagian terpencil di barat daya Xinjiang dan tiba di Thailand bersama isterinya yang hamil, abangnya dan tujuh anaknya pada akhir 2013.

Aktivis yang berhubung dengan banduan di Pusat Tahanan Imigresen berkata, dia sakit tenat selama lebih tiga minggu, tetapi pihak berkuasa Thailand enggan menghantarnya ke hospital sehingga dia rebah.

"Dia batuk dan muntah darah, dia tidak boleh makan," kata Polat Sayim, Pengarah Pusat Pelarian Kongres Uighur Sedunia yang berpangkalan di Australia.

"Seorang doktor memeriksanya dan berkata ia bukan penyakit sebenar, keadaannya normal."

Dia akhirnya dibawa ke hospital selepas rebah, tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sijil kematian yang dikeluarkan oleh hospital menyatakan jangkitan paru-paru sebagai punca kematian.

Aktivis berkata, kumpulannya cuba sampai ke Malaysia, dan akhirnya Turkiye apabila mereka dipintas di selatan Thailand.

Pada masa itu, kebanyakan orang Uighur mendakwa sebagai orang Turkiye untuk mengelak dihantar pulang ke China, dan Turkiye memberi sebahagian daripada mereka kewarganegaraan.

Pada awal Julai 2015 pihak berkuasa Thailand membenarkan 173 daripada mereka termasuk isteri dan anak Aziz Abdullah diterbangkan ke Turkiye.

Bagaimanapun, China membantah keras perkara itu dan menuduh Turkiye campur tangan dalam isu dua hala dan 'bersubahat dalam aktiviti pendatang haram'.

Kerajaan Thailand juga membenarkan pegawai kedutaan China melawat dan menilai pencari suaka, dan pada 8 Julai 2015, sebagai ingkar rayuan daripada agensi pelarian dan beberapa kerajaan, Thailand secara paksa menghantar pulang sekurang-kurangnya 109 lelaki Uighur menaiki kapal terbang dalam keadaan tangan bergari dan kepala ditutup kembali ke China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 3:59 PM