KEM tahanan etnik Uighur di Xinjiang, China. FOTO AFP
KEM tahanan etnik Uighur di Xinjiang, China. FOTO AFP
AFP

Brussels: Kesatuan Eropah (EU) mendesak China membenarkan pemerhati bebas memasuki wilayah Xinjiang yang bermasalah semalam.

Malah EU juga memberi amaran bahawa Beijing mesti melakukan konsesi jika negara itu mahu mempersetujui perjanjian pelaburan utama dengan blok berkenaan.

Gesaan itu dilakukan ketika perbincangan melalui sidang video antara pemimpin EU dengan Presiden China, Xi Jinping, yang banyak memfokus kepada aspek perdagangan dan perubahan iklim.

Untuk rekod, China pernah menolak gesaan untuk memberi akses bebas ke Xinjiang yang mana Beijing dituduh menyalahgunakan hak secara meluas terhadap penduduk Uighur beragama Islam.

"Kami mengulangi kebimbangan atas layanan China terhadap golongan minoriti di Xinjiang dan Tibet, serta layanan terhadap pembela hak asasi manusia serta wartawan.

"Kami meminta pemerhati bebas diberikan akses ke Xinjiang dan menyeru pembebasan warga Sweden, Gui Minhai, serta dua warga Kanada yang ditahan," kata Presiden Majlis EU, Charles Michel.

Kumpulan hak asasi, akademik dan wartawan mendokumentasikan langkah didakwa tindakan keras terhadap umat Islam Uighur serta Kazakh di Xinjiang, termasuk penahanan besar-besaran, penguatkuasaan pemandulan, buruh paksa dan sekatan terhadap agama serta pergerakan.

Aktivis mendakwa terdapat sejuta penduduk Uighur dan lain-lain dikurung di dalam kem yang digambarkan Beijing sebagai pusat latihan vokasional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 9:31 AM