DU WEIMIN terpaksa menyerahkan sebahagian harta kepada bekas isterinya. FOTO Agensi
DU WEIMIN terpaksa menyerahkan sebahagian harta kepada bekas isterinya. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang wanita di China kini bergelar bilionair selepas berpisah dengan suaminya.

Ia selepas perceraian mereka direkodkan sebagai antara yang termahal di Asia.

Gulf News melaporkan, semuanya berlaku selepas Yuan Liping, 49 menerima saham bernilai AS$161.3 juta (kira-kira RM692.9 juta) daripada bekas suaminya, Du Weimin yang juga pengerusi syarikat Shenzhen Kangtai Biological Products Co.

Ia menjadikan Yuan sebagai salah seorang individu terkaya di dunia kerana nilai saham itu melonjak kepada AS$3.2 bilion (kira-kira RM13.78 bilion) berdasarkan laporan syarikat bertarikh 29 Mei lalu.

Yuan yang juga warga Kanada dan memegang jawatan naib pengurus besar anak syarikat Beijing Minhai Biotechnology Co memiliki saham berkenaan secara langsung.

Bagi mendapatkan hak itu, Yuan menandatangani perjanjian penyelesaian dengan bekas suaminya.

Nilai bersih pegangan saham Du kini bernilai kira-kira AS$3.1 bilion (kira-kira RM13.32 bilion) daripada AS$6.5 bilion (kira-kira RM27.92 bilion), sebelum kes perceraian itu.

Sebelum ini, keuntungan syarikat itu melonjak 60 peratus tahun ini selepas pengumuman ia akan menceburi pembuatan vaksin Covid-19 pada Februari lalu.

Ia menjadikan nilai pasarannya melebihi AS$13 bilion.

Namun, nilai itu susut 3.6 peratus semalam selepas tersebarnya berita perpisahan itu.

Du bukan satu-satunya hartawan yang harus membayar harga tinggi untuk bercerai.

Pada 2012, Wu Yajun yang dulunya wanita terkaya di China memindahkan saham bernilai sekitar AS$2.3 juta (kira-kira RM9.9 juta) kepada bekas suaminya, Cai Kui iaitu pengasas syarikat Longfor Group Holdings Ltd.

Bagaimanapun, rekod perceraian paling mahal dalam sejarah dipegang oleh pengasas Amazon.com Inc, Jeff Bezos.

Dia memindahkan empat peratus saham kepada bekas isterinya, MacKenzie Bezos hingga menjadikan wanita itu keempat terkaya di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:30 AM