Pelancong melepasi laluan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles ketika pandemik Covid-19 memuncak pada Jun 2020. FOTO AFP.
Pelancong melepasi laluan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles ketika pandemik Covid-19 memuncak pada Jun 2020. FOTO AFP.
Agensi

Washington: Beberapa negara mengetatkan peraturan menjelang kemasukan pelawat dari China selepas negara itu mengumumkan pembukaan sempadannya mulai minggu depan.

Amerika Syarikat (AS) menjadi negara terbaharu mengenakan peraturan ketat buat pengembara dari China dengan mewajibkan pengambilan ujian saringan Covid-19.

Sebelum ini, negara lain yang mengenakan peraturan baharu untuk pengembara itu termasuk Itali, Jepun, Malaysia, Taiwan dan India, selain Singapura.

Langkah diambil berikutan kebimbangan dunia mengenai perkembangan kes Covid-19 di China dan kekurangan data yang telus, termasuk maklumat penjujukan genom.

Bagaimanapun, kerajaan China berkata peraturan Covid-19 perlu dikemuka atas alasan "saintifik" dan menuduh beberapa negara dan media "memperbesar-besarkan" situasi.

China melonggarkan syarat perjalanan selepas seminggu berhadapan protes rakyat terhadap Presiden Xi Jinping dan kerajaannya.

Negara itu mengumumkan kelonggaran sekatan perjalanan masuk dan keluar bermula 8 Januari, dengan pelawat tidak perlu lagi menjalani kuarantin manakala, permohonan pasport untuk rakyatnya dibuka semula.

Bagaimanapun, AS mendakwa China gagal memberikan data Covid-19 yang telus, sedangkan ia elemen penting untuk memantau lonjakan kes secara efektif dan mengurangkan kemungkinan muncul varian baharu.

AS menetapkan ujian saringan mandatori dengan keputusan negatif Covid-19 untuk pelawat dari China, Hong Kong dan Macau bermula 5 Januari, dan ujian perlu dilaksana tidak kurang dua hari sebelum ketibaan.

Sementara Kesatuan Eropah mengambil langkah 'bersesuaian' dengan situasi semasa Covid-19 di China, termasuk Itali yang sudah mengenakan sekatan terhadap penumpang menaiki pesawat dari negara berkenaan.

Langkah mengambil kira negara anggota EU yang pernah menjadi pusat wabak global selepas terdedah virus dari China pada lewat 2019 dan 2020.

Jepun pula meminta semua pelancong dari China dan mereka yang mengunjungi negara itu dalam tempoh tujuh hari untuk menjalani ujian Covid-19 ketika ketibaan.

Perdana Menteri Fumio Kishida berkata, mereka yang diuji positif perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari jika bergejala atau lima hari jika tiada gejala.

Jumlah penerbangan dari dan ke China juga dihadkan.

India juga menetapkan peraturan sama ke atas pelawat dari China dan empat negara Asia lain.

Turut sama mengambil langkah pencegahan dan pengawasan sedemikian adalah Taiwan dan Malaysia, selain Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:56 PM