AFP

Washington: Kedutaan China di Amerika Syarikat mengumumkan mereka akan mula memperkenalkan polisi baharu visa kepada warga asing, mulai esok.

Langkah terbaharu itu ke arah membuka semula China kepada dunia luar, apabila Beijing secara beransur-ansur menarik balik peraturan sifar-Covid-19 yang ketat.

Selain dokumen perjalanan baharu yang disemak dan diluluskan, visa yang dikeluarkan sebelum 28 Mac 2020 yang masih sah akan membenarkan kemasukan ke China, kata notis kedutaan disiarkan pada Isnin.

Polisi yang dikemas kini itu juga akan membolehkan penyambungan semula perjalanan tanpa visa bagi mereka yang tiba dengan kapal persiaran ke Shanghai, serta kumpulan pelancong tertentu dari Hong Kong, Macau dan negara dalam kumpulan serantau Asean, kata notis itu.

Pengumuman China akan menyambung semula pengeluaran visa kepada warga asing dibuat ketika parlimen negara itu mengakhiri sesi penting di Beijing, di mana Xi Jinping disahkan untuk penggal ketiga sebagai presiden dan sekutu rapatnya, Li Qiang menjadi perdana menteri.

PENGEMBARA berjalan dengan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. FOTO fail Reuters
PENGEMBARA berjalan dengan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. FOTO fail Reuters

Li pada hari Isnin mengakui, bukan tugas mudah mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi negara iaitu kira-kira lima peratus.

China mencatatkan hanya tiga peratus pertumbuhan tahun lalu, terlepas sasaran yang dinyatakan sekitar 5.5 peratus dengan margin yang luas kerana ekonomi tegang di bawah kesan dasar Covid-19 yang ketat dan krisis hartanah.

Sebelum pandemik melanda, China menerima 65.7 juta pelawat antarabangsa pada 2019, menurut data daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun kebanyakan negara lain mula membuka semula ekonomi mereka sepenuhnya dan mengalu-alukan pelancong antarabangsa lebih awal, China hanya mula bangkit daripada dasar pembendungan Covid-19 yang ketat pada penghujung 2022, selepas demonstrasi yang jarang berlaku terhadap strategi sifar-Covid-19 di seluruh negara.

Pada awal Disember, pihak berkuasa China secara berkesan menamatkan rejim ujian besar-besaran, sekatan dan kuarantin yang lama, namun kelonggaran itu menyebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Pada penghujung Disember lalu, Beijing mengumumkan pelancong yang masuk ke negara itu mulai 8 Januari tidak lagi perlu dikuarantin, tetapi mengekalkan sekatan visa kepada warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 11:02 AM