PELANCONG melawat Grand Palace, antara tarikan utama pelancong di Bangkok. FOTO Reuters
PELANCONG melawat Grand Palace, antara tarikan utama pelancong di Bangkok. FOTO Reuters
Reuters

Bangkok: Thailand memperkenalkan peraturan kemasukan baharu selari dengan pembukaan semula sempadan China, Ahad lalu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) berkata, semua ketibaan asing bermula hari ini, mesti membuktikan mereka divaksin atau memberikan surat yang mengesahkan mereka pulih daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan.

Katanya, pengembara yang tidak divaksin mesti menunjukkan sijil perubatan yang menjelaskan sebab mereka tidak menerima vaksin.

"Syarikat penerbangan bertanggungjawab menyemak semula dokumen sebelum penumpang naik dan mengeluarkan senarai jumlah dos yang diperlukan untuk pelbagai jenis vaksin Covid-19 di laman webnya.

"Langkah baharu itu akan kekal berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Oktober lalu, Thailand membatalkan keperluan vaksinasi, namun melaksanakan kembali peraturan itu selepas China membuka semula sempadannya berikutan kelonggaran dasar sifar Covid-19.

Jurucakap kerajaan, Traisuree Taisaranakul berkata, penerbangan komersial pertama dari China ke Thailand membabitkan penerbangan Xiamen Airlines MF833 dijadual tiba ke Bangkok dari Xiamen, hari ini.

Katanya, pesawat itu membawa 286 penumpang.

Kementerian Kesihatan berkata, syarat kemasukan memerlukan warga asing yang melancong ke Thailand menunjukkan keputusan ujian negatif RT-PCRjuga perlu menunjukkan bukti insurans kesihatan membabitkan rawatan Covid-19.

Bagaimanapun, syarat kemasukan baharu itu tidak terpakai kepada pemegang pasport Thailand atau penumpang yang hanya transit melalui Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 12:30 PM