BENJAMIN Netanyahu. FOTO AP
BENJAMIN Netanyahu. FOTO AP
BERNAMA

Baitulmaqdis: Bakal Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan pada Rabu malam bahawa beliau berjaya membentuk kerajaan campuran baharu.

"Saya sudah berjaya (untuk membentuk kerajaan)," tulis Netanyahu di Twitter.

Dalam satu kenyataan berasingan, Parti Likud menyatakan pemimpin veteran itu sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Presiden Isaac Herzog, lapor Xinhua.

Likud masih belum menandatangani perjanjian dengan empat daripada lima rakan gabungannya – tiga parti ekstrem kanan dan dua parti ultra-Ortodoks Yahudi.

Berdasarkan undang-undang Israel, kerajaan baharu perlu mengangkat sumpah sebelum 2 Januari 2023.

Sejak beberapa minggu lalu, Netanyahu bergelut untuk memenuhi tuntutan rakan gabungannya sebagai balasan kepada sokongan mereka.

Pengumuman itu sekali gus menandakan kembalinya pemimpin Israel paling lama berkhidmat selepas hanya digulingkan setahun setengah.

Blok Netanyahu memenangi 64 daripada 120 kerusi parlimen Israel pada pilihan raya 1 November lalu, pilihan raya kelima yang diadakan dalam tempoh kurang empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 10:19 AM