ELITO Circa menghasilkan lukisan dengan darahnya sendiri. FOTO Agensi
ELITO Circa menghasilkan lukisan dengan darahnya sendiri. FOTO Agensi
Agensi

Manila: Seorang artis di Filipina tampil 'kreatif' apabila menghasilkan karya lukisan menggunakan darahnya sendiri.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Elito Circa, 52, menggunakan darahnya untuk menghasilkan lukisan pada kanvas

Karyanya itu mendapat pujian dan kritikan kerana pilihan mediumnya luar biasa.

Berdasarkan latar belakang, Circa dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan sedikit akses kepada bekalan sekolah dan bahan seni.

Dia cuba meneroka menggunakan cara yang berbeza, termasuk menghasilkan lukisan menggunakan buah mangga dan tomato.

Bagaimanapun, keinginan mencari kelainan mendorongnya menggunakan darah.

"Setiap kali melukis, saya akan menggunakan darah saya sendiri kerana kesan darah juga sukar dihilangkan," kata Circa, sambil mewarnakan kanvas putih menggunakan berus cat yang dicelup dalam darah.

Kini, Circa pergi ke klinik kesihatan di bandar itu setiap tiga bulan sekali untuk mendapatkan darahnya.

Lazimnya, 500 mililiter (ml) darah disimpan dalam peti sejuk di studionya untuk projek masa depan.

"Karya seni saya sangat penting kerana ia adalah daripada darah sendiri, asid deoksiribonukleik (DNA) saya adalah sebahagian daripadanya.

"Falsafah saya, kehidupan adalah bulat dan segala-galanya adalah kitaran, jadi darah ini adalah alat yang berfungsi sebagai peringatan dari mana saya berasal," kata Circa.

Selepas melukis mural bersaiz 122 x 244 sentimeter (sm) yang menggambarkan sejarah Pantabangan, bandar tempat dia dibesarkan, Circa menyasarkan projek yang lebih bercita-cita tinggi iaitu lukisan darah terbesar pada tahun depan pada 100 kanvas dalam usahanya mencipta rekod dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 2:02 PM