HOBI Adilah bermula dua tahun lalu.
HOBI Adilah bermula dua tahun lalu.

Melukis di atas kertas kanvas adalah suatu karya seni yang menarik. Ikuti temu bual HAZRIL MDNOR bersama seorang penggiat seni muda dan pandangannya terhadap trend ini.

Penulis percaya anak muda masa kini mempunyai cara tersendiri untuk memberi sesuatu yang bermakna kepada orang lain seperti teman rapat. Barang yang boleh disimpan jadi kenangan seperti bingkai gambar adalah pilihan utama bagi kebanyakan orang.

Namun, kalau pun corak kartun atau bunga anda minat pada bingkai itu menepati cita rasa tapi mungkin kedudukan dan warna pula tidak menarik perhatian untuk membeli. Justeru, karya lukisan seperti ini dihasilkan untuk memenuhi cita rasa yang pelbagai. Pelanggan bebas memilih corak diinginkan berbanding barang yang sudah siap.

Lukisan ‘doodles’ dihasilkan di atas kertas kanvas dengan kreativiti sendiri antara trend anak muda sekarang. Pelbagai corak ataupun tema menarik seperti watak kartun, tema hari jadi dan perkahwinan dan menariknya, hasil lukisan ini boleh dijadikan alternatif lain seperti bingkai gambar. Selain itu, doodles kelihatan menarik dengan corak hitam putih dan dihiasi dengan bunga berwarna-warni.

Makin ramai peminat

Berkongsi trend ini, penulis menemu ramah seorang pelajar yang juga penggiat seni muda, Syaza Adilah Mohd Roslan, 24, yang turut menjadikan hobi melukis atas kertas kanvas sebagai kerjaya sampingannya sekarang. Menurutnya, hobi ini bermula sejak dua tahun lalu apabila lukisannya itu mendapat perhatian selepas ia dikongsikan di laman sosial Instagram (@syzadels), Facebook (Syaza Adela) dan Twitter (@syzadels).

“Awalnya, saya memuat naik gambar lukisan ‘doodle’ ini secara suka-suka di laman sosial namun tanpa disangka kawan mula berminat untuk membeli apabila mereka mengetahui lukisan itu adalah hasil kerja saya.

“Dari situ, saya mula mencari bahan dan dapatkan pembekal kertas kanvas untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Mulanya saya hanya menjual pada teman rapat tapi apabila permintaan makin meningkat, saya mula hasilkan lukisan ini dalam kuantiti yang banyak.

“Makin hari makin ramai remaja meminati lukisan doodles ini terutamanya lukisan yang mereka gemari seperti watak kartun comel, tema majlis hari jadi dan perkahwinan,” kata pelajar jurusan kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Luah idea jadi kreatif

Berkongsi pengalaman kerjayanya setakat ini, Adilah berpendapat, setiap bidang ada cabarannya sendiri dan tidak terkecuali bidang ini. Katanya, walaupun sibuk dengan aktiviti luar dan sukan ekstrim, apa yang jelas, seseorang itu perlu ada komitmen dan masa secukupnya untuk siapkan hasil lukisan demi kepuasan pelanggan.

“Pelanggan akan membuat tempahan melalui e-mel malah ada juga yang komen di laman sosial untuk membeli doodles, namun jenis atau tema lukisan terletak sepenuhnya atas cita rasa pelanggan. Bayaran bergantung kepada kesukaran lukisan dan saiz kertas kanvas.

“Harga yang ditetapkan antara RM10 hingga RM60 (A4),” katanya yang berhasrat ingin menajamkan lagi teknik lukisan dan hasil seninya untuk kepuasan pelanggan.

Ketika ditanya dari mana datangnya bakat dalam bidang lukisan ini, Adilah berkata, dia tidak belajar teknik melukis dari Internet tapi hanya berbekalkan bakat semulajadi.

“Saya memang suka melukis kalau ada masa terluang dan saya akui tak ambil masa yang lama untuk melukis atas kertas kanvas. Biasanya, saya melukis di mana-mana termasuk ketika berada dalam kuliah. Biasanya saya mengambil masa sehingga lima jam untuk menyiapkan kesemua doodles namun ia bergantung pada mood juga.

“Melukis doodle ini bukan hanya di atas kanvas tapi juga boleh dilakukan di permukaan lain cuma kertas kanvas ini lebih mudah dilakar apa saja bentuk objek dan kertas kanvas pula mudah didapati.

“Saya juga gemar melakukan eksperimen untuk mencuba kelainan. Terbaru, saya menghasilkan doodles dan gabungkan dengan ‘pinwheel’ untuk cipta kelainan,” katanya.

Mungkin permintaan bukan diterima setiap hari, tetapi boleh dikatakan akan ada tak menentu masa. Berkongsi pandangan dalam bidang ini, dia berkata, kerja ini tidak terlalu sukar jika ada minat, fokus dan sentiasa tajamkan teknik untuk hasil yang lebih baik. Justeru, anak muda ini berasa bersyukur dengan anugerah Tuhan di atas bakat semulajadinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:08 AM