KARYA Darwisy yang dilukis di televisyen dan kulit durian. FOTO ihsan Muhammad Darwisy Mustafani
KARYA Darwisy yang dilukis di televisyen dan kulit durian. FOTO ihsan Muhammad Darwisy Mustafani
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Penuntut universiti, Muhammad Darwisy Mustafani memiliki kreativiti yang bukan hanya mampu melukis di kertas atau kanvas malah bijak menggunakan medium lain seperti barang terpakai untuk 'eksperimen' seni.

Pemuda berusia 22 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu menghasilkan karya menggunakan medium yang bukan kebiasaan digunakan pelukis lain atau dikenali sebagai 'experimental art'.

Antara medium yang digunakannya ialah televisyen, kelapa, kulit tembikai dan durian, pelitup muka, daun, kotak dan kain batik terpakai, skru dan nat, surat khabar, kulit telur, cakera padat (CD), sisa plastik makanan dan asah pensil serta pembalut (bubblewrap).

Muhammad Darwisy berkata, minatnya dalam seni lukisan bermula sejak berusia lapan tahun serta ia dijadikan hobi untuk ekspresi dan interpretasi seni.

Menurutnya, dia mula mengembangkan seni karya melalui 'experimental art' sejak beberapa tahun lalu sekali gus menunjukkan seni itu tiada sempadan.

"Saya juga mahu mencabar diri supaya keluar dari zon selesa kerana sebelum ini hanya melukis di atas kertas saja. Kita boleh menggunakan pelbagai bahan yang ada di sekeliling kita untuk berkarya.

"Melukis seperti ini dipanggil 'experimental art' iaitu menghasilkan karya menggunakan medium yang bukan 'conventional' atau kebiasaan seperti digunakan oleh pelukis biasa untuk menghasilkan sesuatu karya seni. Ringkasannya 'keluar dari kebiasaan'," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, penuntut Ijazah Sarjana Muda (Sains) Kepujian Senibina di sebuah universiti awam itu mendapat perhatian selepas memuat naik hasil karya yang dilukis pada televisyen di media sosial.

Menurutnya, televisyen itu sudah rosak sejak tahun lalu dan kos pembaikan juga agak mahal menyebabkan dia menggunakan barang elektrik berkenaan sebagai 'medan' karyanya.

Bagaimanapun katanya, setiap bahan mempunyai cabaran tersendiri selain memerlukan penggunaan warna bersesuaian.

"Melukis pada bahan lain selain kertas atau kanvas agak sukar kerana mempunyai tekstur dan bentuk permukaan yang berbeza.

"Televisyen mempunyai permukaan licin dan tidak menyerap warna menyebabkan saya perlu membuat tiga lapisan cat putih sebagai asas lukisan sebelum mula melukis," katanya.

Menurutnya, dia juga suka meneroka lebih banyak medium warna, pensil dan pen untuk berkarya bagi menyesuaikan lukisan dan bahan digunakannya.

"Seperti lukisan pada televisyen saya guna 'acrylic paint', manakala untuk kelapa akan menggunakan 'acrylic marker'. Tempoh pengeringan juga berbeza mengikut medium dan bahan digunakan.

"Penggunaan acrylic agak cepat kering dan kalau lukisan kecil dalam 30 minit sudah kering tetapi lukisan besar mencapai masa dua hingga tiga jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:14 PM