PENDUDUK di kampung Sumber Wuluh di Lumajang, memeriksa kawasan kediaman mereka yang dilitupi debu Gunung Berpi Semeru. FOTO EPA
PENDUDUK di kampung Sumber Wuluh di Lumajang, memeriksa kawasan kediaman mereka yang dilitupi debu Gunung Berpi Semeru. FOTO EPA
Agensi

Jakarta: Angka korban akibat letusan Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, meningkat kepada 13 orang.

Portal Independent yang memetik agensi mitigasi bencana Indonesia melaporkan lebih 100 orang lagi dilaporkan cedera.

Jurucakap agensi berkenaan, Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata, 13 orang disahkan maut dengan dua mangsa sudah dikenal pasti.

Selain itu katanya, 98 individu dilaporkan cedera, termasuk dua wanita hamil.

Letusan itu turut menyebabkan 902 penduduk terpaksa berpindah.

Muhari ketika memberitahu Reuters bahawa 10 mangsa yang pada awalnya terperangkap susulan letusan gunung itu, sudah diselamatkan.

Menurut seorang pegawai tempatan di Lumajang, Thoriqul Haq, mereka yang terperangkap itu adalah pekerja di sebuah lombong pasir.

Menurut pihak berkuasa, letusan itu merosakkan jambatan yang menghubungkan Lumajang dan bandar Malang.

Selain itu, ia menyebabkan kerosakan bangunan.

"Abu tebal menyebabkan beberapa kampung diselubungi kegelapan," kata Thoriqul kepada TVOne, sambil menambah ratusan orang terpaksa berlindung di lokasi yang lebih selamat.

Laporan stesen televisyen tempatan menunjukkan penduduk melarikan diri dalam keadaan panik ketika abu tebal susulan letusan gunung berapi berkenaan, pada Sabtu.

Gunung itu sebelum ini pernah meletus pada Januari, tetapi ia tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Sebelum letusan semalam berlaku, ribut petir dan hujan selama beberapa hari dipercayai menyebabkan kawah di puncak gunung itu runtuh, menurut ketua pusat pemantauan geologikal, Eko Budi Lelono.

Eko berkata, gas dan lava mengalir sehingga 800 meter (m) ke sungai berhampiran.

Beliau berkata, orang ramai diminta untuk berada sejauh lima kilometer (km) dari gunung berkenaan.

Dalam pada itu, AirNav Indonesia, yang mengawal selia ruang udara Indonesia dalam satu kenyataan berkata, bencana itu tidak memberikan impak signifikan kepada penerbangan.

Semeru, gunung tertinggi di Pulau Jawa, adalah antara kira-kira 130 gunung berapi aktif di Indonesia.

Negara itu terdedah dengan ancaman letusan gunung berapi dan gempa bumi kerana terletak di sepanjang lingkaran gunung berapi Pasifik.

Sementara itu, pusat seismologi Europah-Mediterranean melaporkan gempa bumi bermagnitud 6 dilaporkan di utara Halmahera, Pulau Maluku pada Ahad, yang terletak kira-kira 2,000 km dari Semeru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 11:41 AM