FOTO dikeluarkan Isro menunjukkan pelancaran Vikram-S. FOTO EPA
FOTO dikeluarkan Isro menunjukkan pelancaran Vikram-S. FOTO EPA
AFP

New Delhi: Roket pertama India yang dibangunkan secara persendirian berlepas ke ruang angkasa, dalam satu lagi pencapaian dalam usaha negara itu untuk menjadi kuasa besar angkasa lepas.

Roket Vikram-S seberat setengah tan dilancarkan sebelum tengah hari waktu tempatan pada Jumaat, berdasarkan rakaman langsung dari Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (Isro).

Ia kemudian secara selamat terhempas di laut, enam minit kemudian, menurut agensi berkenaan.

Roket dibangunkan syarikat permulaan tempatan Skyroot Aerospace itu, mencapai ketinggian puncak 90 kilometer (km) di bawah garis Karman 100 km yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai garis pemisah bumi dan angkasa lepas.

"Ia sememangnya permulaan baharu, suasana baharu... dalam perjalanan program angkasa lepas India," kata Menteri Sains Jitendra Singh selepas pelancaran kepada sekumpulan juruteknik yang bersorak meraikan di kemudahan pelancaran Isro di pulau selatan Sriharikota.

Roket bahan api pepejal satu peringkat itu dibina dengan "struktur komposit karbon dan komponen cetakan tiga dimensi", kata kerajaan pada Khamis menjelang misi Vikram-S pertama, dinamakan "Prarambh" bermaksud Mula.

India memperkukuh program angkasa lepasnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk misi kru dengan sokongan Rusia yang dijadualkan pada 2023 atau 2024.

Keupayaan dan cita-citanya berkembang, diserlahkan oleh kejayaan roket dan misinya di luar Bumi.

Pada 2014, India menjadi negara Asia pertama pergi ke Marikh dengan pengorbit Mangalyaan.

Dipuji kerana kosnya yang rendah, misi itu meletakkan India dalam 'kelab kecil' negara yang meneroka angkasa lepas termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah.

Pada 2019, Perdana Menteri Narendra Modi memuji India sebagai "kuasa besar angkasa lepas" selepas ia menembak jatuh satelit yang mengorbit rendah, satu langkah yang mencetuskan kritikan terhadap jumlah 'sampah angkasa' yang diciptanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:29 AM