MANGSA bomoh pengganda wang Mbah Slamet, Paryanto selamat dikebumikan di Sukabumi. FOTO Detik.com
MANGSA bomoh pengganda wang Mbah Slamet, Paryanto selamat dikebumikan di Sukabumi. FOTO Detik.com
Agensi

Jakarta: Seorang penduduk Cisaat, Kabupaten Sukabumi, antara mangsa pembunuhan bomoh pengganda wang, Slamet Tohari atau dikenali Mbah Slamet.

Detik melaporkan, kematian mengejutkan Paryanto, 53, itu disahkan oleh ahli keluarganya, Heri Purnama Tanjung.

Heri berkata, hasil bedah siasat mendapati kemungkinan mangsa masih hidup sebelum ditanam.

Paryanto dipercayai tidak sedarkan diri selepas mengambil minuman dicampur ubat tidur dan racun.

"Ketika mangsa melakukan ritual dan sudah meminum racun itu, suspek menggali lubang kubur sementara menunggu racun bertindak balas dalam badan mangsa.

"Selepas mangsa tidak sedarkan diri tetapi kemungkinan masih hidup, dia dimasukkan ke dalam lubang yang sudah digali suspek," katanya kepada detikJabar.

Keterangan itu diterima petugas perubatan yang melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa.

Katanya, mangsa masih mampu bertahan beberapa jam sebelum meninggal dunia.

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan masih elok dan disyaki baru ditanam kira-kira dua minggu lalu. Namun, mayat mangsa lain ada yang masih elok dan sebahagiannya pula sudah tinggal tengkorak.

"Saya berpandangan suspek sangat kejam sehingga melakukan pembunuhan ini," katanya.

Selepas proses bedah siasat selesai, keluarga menuntut jenazah mangsa untuk dibawa pulang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Selamanja, Cibadak, Kabupaten Sukabumi.

Setakat ini, seramai 12 mangsa pembunuhan kejam Mbah Slamet dengan identiti lima mangsa sudah dikenal pasti termasuk Paryanto.

Terdahulu, Mbah Slamet ditahan polis di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:08 PM