ELON Musk. FOTO fail AP
ELON Musk. FOTO fail AP
Agensi

San Francisco: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, pada Selasa, merekodkan kerugian pecah rekod susulan laporan bercampur mengenai penghantaran Tesla.

Musk kini adalah individu pertama di dunia yang kerugian lebih AS$200 bilion (RM881 bilion), dan dijangka akan terus mengalami kerugian, lapor The National yang memetik laporan Bloomberg News.

Lebih banyak kerugian pada Selasa akan menyebabkan kedudukan Musk dalam senarai bilionair Forbes akan terus terjejas.

Beliau kini berada pada kedudukan tempat kedua mendahului bilionair India, Gautam Adani.

Nombor satu adalah Bernard Arnault, pemilik kumpulan LVMH.

Kekayaan Musk, pada tengah hari Selasa, dianggarkan AS$135.6 bilion (kira-kira RM597 bilion)

dan Adani, sebanyak AS$125.5 bilion (kira-kira RM552 bilion).

Penilaian terhadap kekayaan Ketua Tesla itu terjejas kerana prestasi kenderaan elektrik pada 2022, yang dikategorikan antara terburuk menerusi penanda aras indeks S&P 500.

Dianggarkan bernilai AS$340 billion (kira-kira RM1.43 trilion), Tesla kini masih menjadi pembuat kereta paling bernilai, walaupun jumlah pengeluaran adalah lebih kecil berbanding pesaing seperti Toyota.

Tesla melakukan penghantaran 405,278 unit pada suku keempat 2022, kurang daripada jangkaan 431,117 unit, menurut Refinitiv.

Sepanjang 2022, penghantaran meningkat sehingga 40 peratus, tidak menepati jangkaan Musk iaitu sebanyak 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 11:52 AM