BOMBA memadamkan kebakaran di Kelab Mountain B pada kejadian Jumaat lalu. FOTO AFP
BOMBA memadamkan kebakaran di Kelab Mountain B pada kejadian Jumaat lalu. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Pemilik Kelab Mountain B, Phongsiri Panprasong, 27, di daerah Chon Buri's Sattahip, mengaku atas dua pertuduhan terhadapnya selepas pub miliknya terbakar dan mengorbankan 15 nyawa dan 38 cedera Jumaat lalu.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 1 pagi (waktu tempatan) di Mountain B di daerah Sattahip wilayah Chonburi, kira-kira 150 kilometer tenggara Bangkok.

Bangkok Post melaporkan peguam Phongsiri iaitu Anucha Wongsirat kesal dan bersedih dengan kejadian itu dan mengakui kelab itu beroperasi tanpa kebenaran dan kecuaian membawa kepada kematian dan kecederaan.

Sebagai tambahan kepada pengakuan penuh, anak guamnya menawarkan bantuan kewangan kepada pihak terbabit dengan 50,000 bhat (RM6,223) diberi kepada ahli keluarga yang maut manakala 10,000 bhat (RM1,245) kepada mangsa cedera.

Pihak yang terbabit diminta menghubungi kelab itu secepat mungkin untuk pampasan.

Permohonan jamin akan dikemukakan hari ini terhadap Phongsiri yang ditahan sejak Sabtu lalu.

Menurut isteri Phongsiri, Anongnat, 31, pada hari kejadian dia dan suaminya singgah sebentar di kelab mereka itu sebelum kebakaran tercetus.

Bercakap kepada media ketika melawat suaminya di Balai Polis Phlu Ta Laung, Anongnat berkata mereka berdua mahu memeriksa sistem audio yang baru dipasang pada petang kejadian.

Bagaimanapun, sejurus selepas masuk, berlaku letupan kuat diikuti dengan api membakar bahagian dalaman kelab itu

Menurutnya, dia menjerit meminta semua keluar dari kelab itu dan menafikan melarikan diri ketika kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:25 PM