KILANG Barry Callebaut di Wieze, Belgium. FOTO EPA
KILANG Barry Callebaut di Wieze, Belgium. FOTO EPA
AFP

Zurich: Pembekal produk koko dan coklat terbesar dunia berpangkalan di Switzerland, Barry Callebaut mengesahkan tiada coklat tercemar salmonela dihantar kepada pelanggan dan mengakui menghentikan pengeluaran di kilang coklat terbesar dunia di Belgium itu, sehari selepas kes berkenaan dilaporkan.

"Berdasarkan siasatan dalaman, Barry Callebaut mengesahkan tiada produk coklat yang terjejas oleh lot pengeluaran positif salmonela di Wieze, Belgium, memasuki rantaian makanan runcit," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata, selepas selesai analisis semua barisan pengeluaran coklat di kilang Wieze akan dibersihkan dan dinyahjangkit sebelum meneruskan pengeluaran.

Kumpulan Switzerland Barry Callebaut ialah pembekal produk koko dan coklat terbesar di dunia kepada industri makanan, membekalkan kepada syarikat seperti Hershey, Mondelez, Nestle dan Unilever.

Syarikat itu berkata, pengeluaran dihentikan pada Isnin selepas pencemaran ditemukan.

Kilang Wieze tidak membuat coklat untuk dijual terus kepada pengguna dan syarikat itu berkata kebanyakan produk yang didapati tercemar masih berada di kilang.

Pihak berkenaan mengesahkan pada Khamis dengan kebanyakan pelanggan, coklat yang berpotensi tercemar tidak dihantar ke kedai.

Pakar kawalan kualiti Barry Callebaut mengenal pasti lesitin, ditambah kepada tekstur makanan yang licin sebagai sumber pencemaran.

Pendedahan kepada bakteria salmonela boleh mengakibatkan salmonellosis, penyakit yang menyebabkan cirit-birit dan demam tetapi hanya berbahaya dalam kes yang paling ekstrem.

Ketakutan itu berlaku beberapa minggu selepas kes coklat tercemar salmonela di kilang Ferrero di Arlon, selatan Belgium yang mengeluarkan coklat Kinder.

Barry Callebaut menggajikan lebih 13,000 pekerja dan mempunyai lebih 60 kilang pengeluaran di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 10:33 AM